KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed menzahirkan sokongan kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tegas meminta “jangan ada rayuan” kepada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
“Seperti mana kenyataan-kenyataan saya di media sosial (medsos), kita di UMNO Sabah konsisten menyokong mana-mana usaha yang baik untuk menuntut pembayaran 40% daripada kerajaan persekutuan mengikut perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery berkata keputusan makamah tinggi itu membuka lembaran baru dalam merealisasikan tuntutan itu secara perundangan yang sah.
Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada kerajaan Persekutuan.
“Saya juga bersetuju dan menyokong kenyataan YB Bung bahawa sudah sampai masanya perbincangan dan keputusan muktamad dilaksanakan di antara kerajaan negeri dn kerajaan persekutuan.
“Saya melihat isu ini bukan boleh dimainkan untuk meraih kredit politik, ianya perlu difokuskan secara signifikan melalui kaedah rundingan bagaimana tuntutan 40% ini dapat diselesaikan secara konsisten oleh pihak kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah menyambut baik kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahaws tuntutan 40% akan dimasukan dalam manifesto BN Sabah.
“Saya sungguhnya teruja dengan keputusan makamah tinggi ini dan memohon agar pihak Peguam Negara tidak lagi merayu dengan keputusan ini ianya bagi melihat keikhlasan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu secara harmoni dan sihat.
“Semoga isu ini tidak lagi dimainkan sebagai isu politik bagi meraih populariti dalam PRN yang akan datang,” katanya.