KOTA KINABALU: Menjelang pilihanraya negeri Sabah ke-17, sekali lagi, pengundi Sabah disajikan dengan naratif anti-parti luar, atau lebih tepat parti Malaya di media massa dan media sosial.
Bingkainya sama tetapi pengisiannya sahaja berubah.
Sebelum ini, slogan Sabah for Sabahan dilaung-laungkan pada pilihanraya negeri yang lalu tetapi kurang mendapat sambutan.
Kali ini, taktik menggunakan sentiment anti-parti luar ini dicanang sekali lagi oleh para lasker siber parti-parti lokal dengan menggunakan naratif undi parti lokal bermakna undi ke arah autonomi, bebas dari ditadbir parti luar, bebas menentukan hala tuju negeri Sabah.
Begitu kuat semangat anti-parti luar sehingga menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memilih untuk keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tindakan itu dikatakan terkait dengan isu parti lokal vs luar yang mana mereka menuntut agar lebih banyak kerusi diberi kepada parti lokal berbanding parti luar.
Terkini, STAR melalui laman FBnya mengeluarkan hantaran – ‘Rumah Kita, Kita Jaga. Kunci Rumah, Kita Pegang’. Sabah For Sabahan, Justice for Sabahan,’ membawa makna untuk kali ini, Sabah akan ditadbir oleh parti tempatan dan kunci rumah merujuk kepada parti tempatan yang akan menentukan urusan dalaman negeri.
Namun, setelah mengumumkan pembentukan Pakatan baharu – Gerakan Sabah Baharu, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata pakatan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti luar dari Semenanjung.
Berbeza dengan parti Warisan apabila Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan bahawa Warisan akan kekal mesra kerajaan Persekutuan sekiranya ia memenangi pilihanraya negeri nanti.
Apapun, dalam kedua-dua perkembangan tersebut, wakil parti-parti lokal menyedari bahawa Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa sebarang hubungan atau Kerjasama dengan pihak luar samada parti luar atau kerajaan Persekutuan.
Masalahnya ialah terdapat pengundi di akar umbi yang terdedah kepada naratif-naratif anti parti luar, undi parti lokal di media sosial turut menyokong naratif tersebut berdasarkan kepada apa yang mereka lihat di negeri Sarawak.
Namun, di sebalik keterujaan sesetengah netizen dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dibawa oleh parti-parti lokal itu, tidak dapat dinafikan terdapat juga rakyat Sabah yang bimbang dengan naratif tersebut kerana dikhuatiri akan menyebabkan Sabah lebih ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.
Naratif-naratif undi parti lokal turut menunjukkan seolah-olah Sabah tidak pernah dipimpin oleh parti-parti lokal walhal itu tidak benar.
Jika dilihat dari segi sejarah politik Sabah, soal parti lokal menerajui Kerajaan negeri Sabah bukan sesuatu yang baharu. Bermula pada tahun 1963 sehingga 1994, Sabah sememangnya sudah diperintah oleh parti-parti lokal daripada United Sabah National Organization (USNO), Berjaya mahupun Parti Bersatu Sabah (PBS).
Hanya pada tahun 1990, barulah UMNO dibawa masuk ke Sabah dan seterusnya menjadi parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) Sabah.
Bermula dari tempoh itu, trend pemerintahan Sabah menyaksikan nengeri itu tidak pernah diterajui sepenuhnya oleh parti lokal tetapi lebih kepada gandingan parti luar dengan parti-parti tempatan lain.
Namun, Sabah tetap menikmati pembangunan yang pesat daripada gandingan parti luar-parti lokal walaupun tidak seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Persoalannya, adakah soal parti lokal vs parti luar itu adalah sebenarnya masalah dan isu utama yang dihadapi oleh Sabah?
Jawapannya adalah Tidak. Persoalan yang sebenar ialah yang menghantui rakyat Sabah adalah masalah pembangunan infrastruktur dan pembangunan lain yang menjejas kualiti hidup rakyat Sabah.
Bermula dengan masalah infrastruktur yang masih membelenggu rakyat Sabah yang memerlukan penyelesaian segera. Masalah gangguan bekalan air, elektrik dan keadaan jalan-jalanraya yang berlubang masih berlaku di seluruh Sabah dan menghantui kehidupan penduduk di negeri ini.
Dari segi sosio-ekonomi, kadar kemiskinan mutlak dan relatif di negeri masih berada dalam angka dua digit.
Seterusnya, isu tahap pendapatan rakyat Sabah yang rendah yang mana 30.8 peratus isi rumah mencatat pendapatan bulanan antara RM2,000 – RM3,999 manakala golongan yang berpendapatan bulanan antara RM10,000-RM11,999 hanyalah 5.3 peratus sahaja menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan 2024.
Oleh sebab itulah, apabila program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diumumkan, rakyat Sabah merekodkan 98 peratus penggunaan bantuan tersebut berbanding negeri-negeri ini. Hakikatnya, harga barang-barang seperti makanan di Sabah jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Peluang-peluang pekerjaan untuk graduan masih terhad sehingga menyebabkan ramai graduan Sabah terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain untuk mencari rezeki sesuai dengan kelayakan mereka.
Dari segi sistem pengangkutan awam, sudah tiba masanya ianya dimajukan. Ini kerana sehingga kini, Sabah belum ada sistem pengangkutan awam yang efisyen dan bersepadu seperti yang terdapat di Kuala Lumpur seperti komuter yang dapat menghubungkan penduduk luar bandar ke bandar.
Para pengundi juga muda menanti-nantikan apa yang dapat ditawarkan oleh pihak-pihak yang bakal bertanding untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Antaranya ialah langkah menaikkan tahap pendapatan mereka yang bekerja di Sabah.
Soalnya, jika dilihat dari ucapan-ucapan yang dibuat oleh setengah parti lokal, belum ada yang benar-benar menawarkan visi dan misi mengenai hala tuju masa depan negeri Sabah.
Pada dasarnya, Sabah mempunyai potensi untuk berkembang menjadi sebuah negeri yang kaya dan maju. Oleh itu, apa yang rakyat Sabah benar-benar perlukan sekarang ialah kepimpinan yang mempunyai visi dan misi yang jelas akan hala tuju Sabah, yang pragmatik, berani dan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
Oleh itu, naratif undi parti lokal, tolak parti luar itu tidak begitu relevan apalagi slogan Sabah for Sabahan buat rakyat Sabah pada masa kini.
Justeru, pengundi Sabah harus bijak memilih dan bersikap pragmatik dalam pilihanraya negeri yang akan diadakan. Ini kerana mereka sudah merasai pentadbiran di bawah parti lokal sepenuhnya, parti nasional dan gandingan parti lokal-nasional.
Untuk kali ini, mereka tidak boleh memilih atas dasar sentimen semata-mata. Menjelang PRN ke-17, mereka harus memilih mana yang dapat menawarkan pakej pembangunan yang realistik, bersifat solusi dan inklusif sehingga berjaya mengangkat Sabah menjadi sebuah negeri yang progresif dan makmur tanpa menjejas hubungannya dengan kerajaan Persekutuan.
