Kenyataan Media Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung, marilah kita mengimbas kembali semangat perjuangan yang telah menjadi tunjang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak penubuhannya.
Konsep #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah yang diperkenalkan oleh Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada 2 Mac 2023 semasa pelancaran rasmi Parti Gagasan Rakyat Sabah, bukan sekadar slogan.
Ia adalah falsafah politik yang menekankan rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga negeri ini dengan semangat perpaduan, tolong-menolong dan kebersamaan antara rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.
Kedua-dua konsep ini menjadi pelengkap kepada empat teras utama perjuangan GRS, SabahFirst, SabahForward, SabahProsper, dan SabahUnited yang digerakkan berasaskan semangat #SayangiSabah, seperti yang dilaungkan ketika pelancaran rasmi Gabungan Rakyat Sabah pada 28 Mei 2022.
Teras-teras ini membentuk arah perjuangan GRS untuk memastikan Sabah ditadbir dengan keutamaan kepada rakyat Sabah sendiri, berpandangan ke hadapan, makmur secara menyeluruh dan bersatu padu dalam kepelbagaian.
Pada Julai 2025, semasa Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah, lahirlah pula #SabahTanahAirku, satu gagasan yang meneguhkan semangat kecintaan, kesetiaan dan tanggungjawab terhadap negeri Sabah.
Ia mencerminkan tekad GRS untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan berasaskan nilai cinta tanah air dan perpaduan sebenar.
Tagline SabahTanahAirku melambangkan kesinambungan semangat perjuangan GRS, dari membina rumah yang kukuh untuk rakyat, menjaga negeri dengan penuh kasih, membawa Sabah ke hadapan dengan kemajuan, dan menyatukan semua dalam satu cita-cita bersama: menjadikan Sabah sebuah negeri yang lebih maju, berjaya dan sejahtera
Dalam PRN Sabah kali ini, marilah kita bersama GRS meneruskan perjuangan ini.
