TAWAU – Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menghangatkan gelanggang politik negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Walaupun dilihat sebagai satu tamparan kepada GRS, pemerhati politik, Mohd. Zaki Harry Susanto percaya keputusan dua parti itu sebenarnya turut memberikan manfaat buat gabungan tersebut.
“Dengan keluarnya STAR dan SAPP, GRS akan lebih mudah bergerak dengan simbol tunggal. Ia ringkas, mudah difahami pengundi dan menonjolkan imej lebih bersatu,” kata Zaki dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut Zaki lagi, langkah itu juga mengurangkan risiko perebutan kerusi sesama sendiri di kalangan komponen GRS. Sebelum ini, STAR dan SAPP lantang menolak kuota pembahagian kerusi GRS-PH yang dikatakan menawarkan sehingga 23 DUN kepada Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimanapun, kedua-dua parti berkenaan dijangka tetap memberi saingan dalam PRN Sabah ke-17. STAR sudah menyuarakan hasrat menawan 15 kerusi DUN termasuk kawasan majoriti Cina, manakala SAPP pula mahu meletakkan calon di kerusi yang juga ditandingi PH.
“Ini berisiko memecahkan undi, terutama di kawasan Kadazan-Dusun-Murut (KDM). Kalau undi berpecah menjadi tiga penjuru, pembangkang pasti boleh tersenyum,” kata Zaki lagi.
Setakat ini, STAR dan SAPP belum mendedahkan senarai penuh DUN yang akan ditandingi, namun bayangan yang diberikan jelas menunjukkan mereka tidak gentar berdepan bekas rakan gabungan mereka.
Bagi GRS, keluarnya dua parti itu boleh dianggap ‘pembersihan dalaman’ yang membolehkan gabungan itu lebih fokus, tersusun dan stabil.
Kini, persoalan utama menjelang PRN-17 ialah sama ada ketiadaan STAR dan SAPP akan menjadikan GRS lebih gagal atau membuka ruang kepada lawan menembusi benteng mereka.
