KOTA KINABALU: Kisah pengorbanan seorang yang pernah memegang gelaran ibu tunggal menjadi sumber kekuatan kepada mahasiswa Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, Michael Lovinon Moosom, 19, untuk meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pemuda dari Penampang itu memaklumkan, ibunya merupakan insan yang banyak berkorban untuk memastikan beliau dan adik-beradik mendapat pendidikan yang sempurna.
“Ibu saya membesarkan kami sendirian selama lebih 10 tahun.
”Beliau bekerja keras untuk menyediakan keperluan termasuk makan minum, kediaman dan pendidikan kepada kami,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Lafaz Ikrar sempena Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di sini pada Selasa.
Michael mengakui status sebagai seorang pelajar OKU masalah pembelajaran bukanlah halangan dalam hidup, sebaliknya menjadikan ia sebagai cabaran yang memotivasikan dirinya untuk lebih berdikari.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak universiti atas kemudahan dan sokongan yang disediakan untuk pelajar berkeperluan khas.
“Saya amat bersyukur atas kemudahan yang telah disediakan di UMS untuk golongan pelajar seperti kami.
“Saya juga berterima kasih atas sambutan mesra daripada warga UMS termasuk para pensyarah selain mempunyai rakan-rakan sebaya yang memahami.
“Dengan usaha gigih, bimbingan dan sokongan semua pihak, saya melihat golongan pelajar OKU seperti saya ini tidak akan merasa terpinggir dan mampu menamatkan pengajian dengan jayanya,” tambah Michael lagi.
Untuk rekod, Michael merupakan antara 11 pelajar OKU yang ditawarkan memasuki UMS pada sesi kemasukan pelajar baharu kali ini.