TAMPARULI: Kata Pepatah Melayu ‘Ada cahaya di hujung terowong”.
Kata-kata inspirasi inilah yang cuba diserap dan dipupuk oleh Naib Presiden KDM Dr Gaim James Lunkapis untuk memberi semangat kepada komuniti kampung Bulieng, Tamparuli meneruskan misi murni memelihara budaya yang diwarisi secara turun temurun.
Beberapa bulan lalu, Dr. Gaim yang juga bekas profesor Madya UMS, telah dijemput oleh pengerusi komuniti Kg. Bulieng, Tamparuli Gundohing Paulus Lukun untuk menyampaikan ceramah mengenai hasrat mereka untuk memulihara dan memajukan tarian serta muzik tradisi warisan nenek moyang.
Sesuai dengan aspirasi komuniti sajethera, Dr. Gaim telah memberi galakan dan cabaran kepada komuniti supaya dalam tempoh sebulan mereka berusaha mendaftarkan persatuan tersebut secara sah.
Ternyata, komuniti Kg. Bulieng menyahut cabaran itu dengan penuh tekad, sekali gus memperlihatkan kelibat dan ciri-ciri kepimpinan Gundohing Dr Gaim dalam membimbing dan menyuburkan minda orang kampung untuk berjaya dalam hidup termasuk mempertahankan khazanah kebudayaan.
Hasil ceramah tersebut, komuniti berjaya menubuhkan dan mendaftarkan sebuah persatuan yang diberi nama “Persatuan Penduduk Salasak Monurali Kg. Bulieng” sebagai wadah rasmi mengangkat budaya setempat agar tidak luput ditelan zaman.
Hanya dalam tempoh sebulan sahaja, mereka berjaya memperoleh kelulusan rasmi, sekaligus meniupkan semangat baharu kepada seluruh warga kampung untuk terus berlatih, melatih dan menghidupkan kembali keindahan seni budaya mereka.
Kini, dewan komuniti Kg. Bulieng saban minggu bergema dengan paluan gong dan kulintangan, terutama menerusi persembahan “Salasak Monoruli” yang semakin mendapat perhatian. Kanak-kanak dan belia kelihatan bersemangat memalu gong sambil mempelajari rentak tradisi, manakala sekumpulan yang lain tekun berlatih tarian Mongigol dan Sumayau di bawah bimbingan generasi lebih tua.
Melalui aktiviti itu, bukan sahaja bakat anak muda dapat disemai, malah hubungan silaturahim antara generasi juga semakin erat.
Bagi komuniti Kg. Bulieng, falsafah “melentur buluh biar dari rebung” menjadi pedoman utama dalam usaha memastikan warisan muzik dan tarian tradisi ini terus segar dalam jiwa anak-anak mereka.
Mereka sedar bahawa paluan gong, alunan kulintangan dan setiap langkah tarian tradisi bukan sekadar hiburan, tetapi membawa makna mendalam mengenai adat resam, pantang larang dan budaya yang diwarisi secara lisan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Apa yang lebih membanggakan, gaya paluan gong, rentak kulintangan dan gerak tarian yang ada di Kg. Bulieng adalah unik dan hanya terdapat di komuniti ini. Keunikan tersebut menjadikan usaha mereka bukan sahaja satu bentuk pemuliharaan budaya, malah satu langkah memelihara identiti lokal yang tidak ternilai harganya.
Kejayaan mendaftarkan Persatuan Salasak Monoruli Kg. Bulieng merupakan satu titik tolak yang penting.
Dengan adanya persatuan rasmi, komuniti kini lebih bersemangat untuk memperluaskan latihan, memelihara peralatan muzik tradisi, dan menyediakan lebih banyak ruang bagi anak-anak muda menonjolkan bakat mereka.
Menurut Dr. Gaim “Kisah Kg. Buleing membuktikan bahawa dengan visi jelas, semangat bersatu dan usaha berterusan, sebuah komuniti kecil mampu mencapai kejayaan besar, kesejahteraan komuniti adalah keutamaan kami”
KDM Tamparuli mengucapkan syabas dan tahniah buat komuniti Kg. Bulieng, kerana paluan gong dan tarian tradisi anda bukan sekadar gema semalam, tetapi nadi esok yang penuh harapan.
