TULID: Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah, Jordan Jude Ellron, menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan termasuk Petronas, Sime Darby, Felcra serta GLC Kerajaan yang lain tidak boleh hanya mengaut keuntungan di Sabah tanpa menunjukkan tanggungjawab sosial syarikat (CSR) kepada rakyat Sabah, khususnya ketika bencana alam berlaku.
Menurut beliau, ketidakhadiran GLC-GLC persekutuan dalam misi bantuan bencana menimbulkan tanda tanya mengenai komitmen sebenar mereka terhadap Sabah.
“Kita lihat sendiri, setiap kali banjir besar, tanah runtuh atau gempa kecil berlaku di Sabah, yang paling cepat turun padang adalah sukarelawan, NGO tempatan, serta agensi kerajaan negeri.
“Malangnya, syarikat-syarikat gergasi yang menjana keuntungan ratusan juta ringgit daripada hasil bumi dan tanah Sabah ini seakan-akan hilang.
“Where is the goose that lays golden eggs gone when Sabah is hit by disasters?”
“Adakah agensi-agensi ini perlu tunggu arahan daripada ketua-ketua mereka di Malaya sebelum tampil membantu rakyat Sabah?” katanya dalam satu kenyataan.
Jordan berkata, Petronas terus memperoleh keuntungan besar daripada minyak dan gas Sabah, manakala Sime Darby, Felcra Serta GLC yang lain mendapat manfaat daripada sektor perladangan.
“Namun begitu, ketika Rakyat Sabah terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kehilangan rumah dan harta benda, bantuan daripada GLC berkenaan jarang diumumkan atau tidak sampai kepada mangsa.
“Rakyat Sabah mula tertanya-tanya, adakah kita hanya penting ketika hasilnya diambil, tetapi tidak bernilai ketika ditimpa bencana?” soal Jordan.
Beliau menekankan pentingnya dasar CSR GLC di Sabah ditambah baik agar tidak hanya bersifat simbolik, tetapi benar-benar memberikan impak jelas kepada Rakyat Sabah.
“CSR bukan sekadar logo, iklan dan pelancaran di hotel. Ia tentang kehadiran sebenar di lapangan menghantar makanan, membantu mangsa banjir, menyediakan kemudahan asas. Itu yang Rakyat Sabah harapkan,” tegasnya.
Jordan menegaskan bahawa generasi muda Sabah tidak mahu lagi melihat Sabah hanya dijadikan tempat menjana kewangan.
“Sudah tiba masanya syarikat-syarikat besar ini melihat Sabah bukan hanya sebagai tempat menjana keuntungan, tetapi sebagai rumah kepada Rakyat Sabah yang berhak mendapat pulangan daripada kekayaan negeri sendiri,” katanya.
