KOTA KINABALU – Budaya megalitik merupakan warisan negara yang tidak ternilai dan perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat tempatan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, budaya megalitik bukan sekadar tinggalan arkeologi, malah mencerminkan struktur sosial, adat dan sistem kepercayaan masyarakat lampau.
“Keunikan budaya ini turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang bernilai tinggi jika dipelihara dengan baik,” katanya dalam ucapan aluan Seminar Budaya Megalitik di Negeri Sabah di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Profesor Dr. Asmady Idris.
Menurut Kasim, beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan kerana budaya megalitik kini semakin terancam apabila banyak struktur batu besar atau megalit dipecahkan, dipindahkan atau dimusnahkan akibat pembangunan dan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.
Ujar beliau, jika tidak dipelihara, hanya sebilangan kecil sahaja megalit akan kekal berbanding jumlah asalnya yang dianggarkan ratusan di seluruh Sabah.
“Istilah megalit merujuk kepada batu besar yang didirikan oleh masyarakat terdahulu untuk pelbagai tujuan.
“Antaranya sebagai penanda sempadan, tanda kubur, simbol perdamaian selepas peperangan, batu sumpah, dan peringatan terhadap peristiwa penting.
“Justeru usaha dokumentasi perlu dilaksanakan agar ia tidak dilupakan,” tambah Kasim.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan UMS melalui kerjasama penyelidik dari Institut Borneo untuk Kajian Asli (BorIIS) telah menjalankan beberapa projek penyelidikan mengenai megalit di Sabah menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Jelasnya, usaha itu adalah bagi mendokumentasikan kepentingan arkeologi dan khazanah budaya serta mengkaji potensi pemetaan laluan warisan untuk pelancongan budaya di daerah tersebut.
“Antara kawasan yang telah direkodkan termasuklah komuniti Kadazandusun di Tambunan, masyarakat Lundayeh di Long Pasia, Kadazan di Penampang serta beberapa komuniti lain di Papar, Beaufort dan Kuala Penyu,” ujar Kasim lagi.
Seminar itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), FSSK dan BorIIS UMS.
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Cleopatra @ Clare Asing mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Seminar berkenaan turut menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Kluster Pengajian Etnik dan Warisan Orang Asal, BoRIIS UMS, Profesor Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan dan Pensyarah FSSK, Profesor Madya Dr. Oliver Valentine Eboy.
Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Arif Abd. Hamid dan Pengarah BoRIIS UMS, Profesor Madya Dr Normah Abdul Latip.
Penerangan gambar:
Gambar 1: Para peserta seminar mengambil gambar kenangan bersama. Turut kelihatan Asmady (duduk dua dari kiri)