DUN Tamparuli bakal jadi tumpuan ramai menjelang PRN – Calon ‘heavyweight’ dijangka turun gelanggang

TUARAN: DUN Tamparuli yang sinonim dengan mercu tanda ikonik bersejarah “Jambatan Tamparuli” amat popular di seluruh negara.

Dan dalam sedikit masa lagi, DUN Tamparuli yang sebelum ini menjadi kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) bakal masih tumpuan ramai, tetapi kali ini sebagai gelanggang sepak terajang politik.

Teka-teki mengenai siapakah bakal-bakal calon yang bertarung di DUN Tamparuli dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang masih menjadi persoalan, terutama pemerhati dan penganalisis politik tanah air.

Setakat ini, berdasarkan pengamatan dan perbualan di kedai-kedai kopi, mereka senada meramalkan akan berlaku kejutan menjelang PRN nanti.

Selain calon daripada PBS mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hampir pasti parti lain seperti Warisan, Parti Impian Sabah (PIS) bahkan Barisan Nasional juga dijangka meletakkan calon di Tamparuli.

Para pemerhati politik turut meramalkan kejutan yang bakal menyaksikan seorang calon “heavyweight” yang merupakan bekas presiden sebuah parti tempatan, dikatakan menggunakan lambang sendiri, akan turut serta bertanding, sekali gus menyuburkan amalam demokrasi di negeri ini.

Antara nama yang kerap disebut sekarang sebagai bakal calon ialah penyandang Datuk Jahid Jahim atau seorang pegawai kanan awam di daerah Tuaran mewakili GRS dan Gundohing Dr Gaim James Lunkapis mewakili KDM.

Setakat ini, masih menjadi teka-teki siapa bakal calon Warisan – parti tempatan yang bertekad untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN dalam PRN.

Aktivis sosial dan penganalisis politik Gundohing Dr Kanul Gindol berkata sehingga kini semua calon tersebut berpeluang untuk menang meskipun terdapat sedikit kelebihan kepada parti pemerintah yang memenangi kerusi itu pada PRN lepas.

“Setakat ini dua parti iaitu KDM dan GRS kelihatan sedang memuncak dalam pertarungan sokongan awam di Tamparuli. Yang lain termasuk Warisan dan calon seperti Dr Julia Ongkili dari PIS jauh tertinggal masa ini,” katanya ketika dihubungi Jesselton Times untuk pandangannya semalam.

Namun, menurut beliau, keadaan akan berubah jika seorang calon “heavyweight” yang diwar-warkan benar benar mengambil bahagian dan mengguna lambang sendiri.

“Dalam politik, keadaan boleh berubah sekelip mata. Tiada yang kekal. Ia seperti perlumbaan marathon, umpama GRS dan KDM pelari mendahului, mereka perlu kekalkan rentak dan pastikan tiada yang memecut ke garis penamat…” katanya sambil menambah pelari yang sedang berada di tempat ketiga atau keempat boleh merapatkan jurang dan buat kejutan.

Menurut Dr Kanul, pada PRN16 2020, Jahid menang selesa majoriti 3,517 undi apabila beliau mendapat 6,843 undi menewaskan tiga calon lain, tetapi keadaan sekarang telah berubah.

“GRS sedang menghadapi cabaran populariti menurun ekoran banyak isu seperti kelembapan ekonomi, rasuah meningkat dan kepincangan berterusan dalam bekalan air dan elektrik di mana-mana.

“Hanya KDM yang kelihatan meningkat mendadak di Tamparuli, mungkin kerana pimpinan KDM sudah menandakan calon pilihan mereka Dr Lunkapis,” ujarnya sambil menambah pertembungan minimum tiga parti terkuat bakal mewarnai kempen di kawasan majoriti Kadazandusun itu.

“Saya sendiri ada beberapa kali berada di Tuaran kebelakangan ini atas jemputan para sahabat, dan saya boleh katakan keadaan agak seimbang dan masih menyeimbang, sesiapa dalam tiga calon teratas memiliki peluang yang adil untuk menang di Tamparuli,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles