KENINGAU: Bekas pemain bola sepak Sabah
Gundohing Jekerison Kilan yang kini menceburi arena politik, dijangka bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di DUN Nabawan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
Diberi kepercayaan oleh presiden KDM Datuk Peter Anthony sebelum ini untuk menyelaras perjalanan aktiviti KDM Nabawan, penyokong setianya Jekerison kini dilihat sebagai pencabar utama kepada ADUN penyandang, Datuk Abdul Ghani Datuk Haji Mohamed Yassin mewakili GRS.
Sebelum memasuki gelanggang sepak terajang politik, Jekerison merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik Sabah semasa beliau bersama pasukan Badak dari tahun 1989 hingga 1998.
Digelar pemain yang kuat dan deras, anak jati Nabawan dari Kampung Malinja yang juga dikenali dengan nama jolokan “Roberto Baggio” itu pernah menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan pada tahun 1994.
Berbeza dengan perjuangan di padang bola sepak, di mana kerja keras dan keringat pemain adalah penting, Jekerison berkata kehidupan sebagai ahli politik lebih mencabar kerana ia diiringi tanggungjawab berat dan holistik iaitu “menyelesaikan semua masalah rakyat.”
Setelah mengemudi KDM Nabawan selama dua tahun, Jekerison, yang juga Ketua Bahagian KDM Pensiangan, menzahirkan kesediaannya untuk menyarung jersi KDM bertanding kerusi DUN Nabawan jika diberi peluang.
“Saya sentiasa terbuka dan tiada masalah untuk menjadi calon kerana saya telah bersedia untuk masa yang lama, baik dari segi pengalaman kerja, mental, fizikal, dan logistik.
“Selama dua tahun ini, saya sering bertemu dengan penduduk untuk menyelami dan memahami keperluan, keperitan hidup serta masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan Nabawan.
“Pengalaman ini nyata menyuntik semangat saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika diberi mandat,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Jekerison berkata berdasarkan trend sokongan rakyat terkini, pengundi Nabawan yang majoritinya dari suku kaum Murut mahukan ‘perubahan’.
Menurutnya, ramai penduduk Nabawan kecewa dengan situasi sekarang, terutama masalah tanah yang berterusan.
“Sebagai contoh, ramai penduduk kampung tempatan di Nabawan mengeluh sudah bertahun-tahun lamanya memohon tanah tetapi masih belum menerima geran dan banyak lagi rungutan lain berkaitan urusan tanah, termasuk kes pemilikan tanah tertentu yang agak luas …ini lah antara isu besar di Nabawan…rakyat tidak puashati.
“Selain itu, ramai penduduk mengajukan pelbagai masalah kemudahan infrastruktur, termasuk ketiadaan jalan-jalan yang menuju ke kebun pertanian… harus diingat majoriti penduduk Nabawan terlibat dengan aktiviti pertanian. Kami di KDM percaya masalah ini wajar diberi perhatian,” katanya.
Jekerison, lulusan Diploma Sains Politik, bertekad untuk membawa sebanyak mungkin pembangunan ke kawasan DUN Nabawan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat jika diberi mandat.
“Saya juga melihat pembangunan belia, termasuk aktiviti sukan perlu diperhebatkan selain mewujudkan Muzium Budaya Murut di Nabawan pada masa depan untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke daerah ini,” kata Jekerison yang peramah dan mudah didampingi rakyat.
Sehubungan itu, Jekerison berharap agar penduduk Nabawan dapat bersatu dan memberikan sokongan padu kepada KDM pada pilihan raya negeri yang akan datang.
Jika momentum rakyat yang mahukan perubahan berterusan, beliau yakin KDM mampu memberi saingan kuat kepada GRS-PH, sekali gus melakukan kejutan di DUN Nabawan.
Rata-rata penduduk Nabawan, salah satu daerah yang mencatatkan ramai keluarga berada dalam kategori miskin tegar di Sabah, menaruh harapan agar wakil rakyat yang terpilih datang dari keluarga yang pernah merasai hidup susah di kampung dan memahami denyutan nadi rakyat, khususnya yang tinggal di kawasan terpencil di Pedalaman.
Adakah Tahun Ular 2025 (Year of Snake) membawa tuah kepada Jekerison, sama-sama kita tunggu keputusan PRN tidak lama lagi.
