KGKS sambut baik peruntukan RM67 bilion untuk sektor pendidikan dalam RMK13 – Murkam

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik pengumuman kerajaan memperuntukkan RM67 bilion untuk sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dan wajar disokong oleh semua pihak, presiden KGKS Presiden KGKS Murkam Hj Hussien yakin peruntukan sebesar itu mampu meningkatkan kualiti pendidikan negara, khususnya di Sabah.

Menurut beliau, tumpuan kepada sektor pendidikan adalah amat tepat pada masanya, terutama dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah serta memastikan akses pendidikan yang lebih saksama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kami sangat mengalu-alukan peruntukan ini. Namun, kami berharap perhatian khusus diberikan kepada penambahbaikan kemudahan asas pendidikan di Sabah, terutama dari segi infrastruktur sekolah dan perumahan guru di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Murkam menekankan bahawa isu rumah guru yang daif, tidak mencukupi, atau langsung tiada masih menjadi cabaran utama di beberapa kawasan luar bandar di Sabah.

“Ini memberi kesan kepada kebajikan guru dan secara tidak langsung menjejaskan kualiti pengajaran.

“Kalau kita mahu guru yang berdedikasi kekal mengajar di kawasan pedalaman, kita perlu sediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk mereka tinggal. Rumah guru bukan kemewahan, tapi keperluan,” tambah Murkam.

Selain itu, beliau mencadangkan agar RMK13 turut memberi perhatian kepada beberapa isu dalam memperkasakan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ini termasuk meningkatkan kemudahan digital dan akses internet di sekolah luar bandar,
merancakkan pembangunan latihan berterusan untuk guru, dan memacu pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang sesuai dengan potensi setempat.

Murkam berharap agar pelaksanaan RMK13 disusuli dengan pemantauan rapi dan penyertaan aktif pemegang taruh di peringkat komuniti agar setiap sen peruntukan memberi impak yang nyata.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles