Oleh Dr Ritchie Jay Cheng
KOTA KINABALU: Sabah sememangnya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan hasil laut yang segar, menjadikan industri perikanan sebagai salah satu sektor penting dalam ekonomi negeri.
Reputasi ini tidak mungkin wujud tanpa sumbangan besar para nelayan kita, khususnya nelayan di Tanjung Aru.
Oleh itu, kebajikan dan keselamatan nelayan mesti terus dijaga. Program sumbangan life jacket, lampu dan aksesori keselamatan kepada 150 orang nelayan B40 yang disumbangkan saya sendiri iaitu 50 orang dari Sembulan, 50 di Tanjung Aru dan 50 dari Pulau Gaya adalah sebahagian daripada usaha kami iaitu saya dan Ketua Bahagian PGRS N22 Tanjung Aru Datuk Awang Ahmad untuk meningkatkan tahap keselamatan nelayan ketika turun ke laut yang sebelum ini para nelayan disini kurang kelengkapan keselamatan apabila berada di laut.
Saya menyambut baik langkah proaktif kerajaan negeri yang baru-baru ini telah menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah.
Majlis ini akan menjadi platform strategik bagi mengukuhkan sektor berkaitan laut seperti perikanan, maritim, pelancongan laut, dan akuakultur, secara mampan dan terancang.
Ini membuktikan bahawa Kerajaan Sabah komited dalam membangunkan potensi laut kita demi faedah rakyat keseluruhannya.
Sebagai komponen penting dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Gagasan Rakyat Sabah terus mendukung dasar-dasar pro-rakyat ini. Saya percaya, dengan mandat yang jelas kepada calon GRS di DUN N22 Tanjung Aru dalam PRN17 nanti, kita akan mampu memperluaskan lagi program seperti ini, serta menjamin masa depan ekonomi pelancongan dan perniagaan laut yang lebih rancak.
Kita bukan sahaja mahu memastikan masa depan komuniti nelayan kita dalam sektor perikanan terus terjamin, tetapi juga mahu memastikan sektor pelancongan di Tanjung Aru turut berkembang.
Tanjung Aru mempunyai dua hotel bertaraf lima Bintang, Shangri-La’s Tanjung Aru Resort dan Sutera Harbour Resort yang menjadi antara tarikan pelancong utama di sini.
Ini menunjukkan bahawa Sabah bukan hanya perlu dikenali kerana kekayaan hasil lautnya, tetapi juga kerana keupayaan kita menjaga dan memperkasakan insan-insan di sebalik kekayaan itu, iaitu para nelayan dan komuniti-komuniti kita yang menjadi nadi ekonomi negeri ini.”