Blok BN Sabah hakikatnya kalah PRN 2018, kata seorang Aktivis Sosial

KOTA KINABALU: Seorang aktivit sosial berpendapat bahawa blok kerajaan Barisan Nasional (BN) pada hakikatnya “kalah” kepada blok pembangkang, termasuk Warisan, Pakatan Harapan dan STAR pada pilihan raya negeri pada 2018.

Salman Nurillah berkata walaupun masih ada pemimpin yang menyokong parti pemerintah cuba menonjolkan bahawa presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal menggunakan pintu belakang menjadi ketua menteri pasca PRN 2018, namun fakta tidak boleh disangkal bahawa blok kerajaan BN menang 29 kerusi dan blok pembangkang memperolehi 31 termasuk 2 kerusi dimenangi STAR.

Beliau berkata STAR bukan anggota BN pada ketika itu dan tidak menyatakan pendirian untuk menyertai blok BN sebelum hari pengundian PRN 2020, dan oleh itu, secara teknikalnya STAR masih dianggap berada di blok pembangkang.

“Jadi keputusan PRN 2018 jelas menunjukkan blok BN kalah dan tidak dapat menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

“Namun ada pihak yang masih cuba menyembunyi atau mengelak isu kekalahan ini ditonjolkan, dan sebaliknya bermegah isu kemenangan selepas 2 Adun STAR beralih arah ke blok kerajaan,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial berhubung senario politik Sabah pasca PRN 2018.

Salman berkata walaunpun Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang mana-mana Adun menyertai atau melompat parti ketika itu selaras dengan prinsip demokrasi, namun fakta juga tidak boleh disangkal bahawa BN yang terlebih dahulu memancing 2 Adun STAR untuk membentuk kerajaan sehinggalah pengerusi BN mengangkat sumpah jadi ketua menteri.

Susulan itu, Salman berkata Majlis Tertinggi UPKO yang menganggotai BN dikatakan telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan hala tuju parti.

“Berdasarkan laporan akhbar, AMT UPKO kemudiannya memutuskan keluar dari gabungan BN dan bersetuju membentuk kerajaan Sabah bersama Blok Pembangkang yang diterajui Warisan,” katanya.

Sambil mempertahankan pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Salman berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan perlembagaan dan bukan guna pintu belakang.

“Apa yang jelas yang wajar diterima meskipun pahit menyebutnya ialah blok BN kalah pada PRN 2018….kita seharusnya gentleman menerima keputusan rakyat itu dengan hati terbuka dan tidak terus mempolitikkan isu PRN 2018,” katanya.

Dalam usaha Warisan untuk memperbetulkan keadaan yang serba celaru ketika mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Sabah ketika itu, Dunia (Sabah tidak terkecuali) dilanda COVID-19 yang tidak memungkinkan pihak kerajaan melaksanakan agenda yang telah dirancang ketika itu.

“Apabila masalah COVID mulai redah, tiba-tiba timbul usaha membeli Adun-Adun Warisan untuk beralih arah dan menjadi sebab DSP Shafie sebagai Ketua Menteri memilih untuk membubarkan DUN dan mengembalikan Mandat kepada rakyat Sabah sebagai opsyen terakhir bagi mengelak politik katak berterusan. Selebihnya adalah sejarah untuk kita sama sama mengambil ikhtibar dan pengajaran,” katanya.

Beliau berkata pada PRN 2025, “kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menentukan nasib parti-parti yang bertanding termasuk Warisan yang akan bergerak solo, jika betul betul inginkan perubahan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles