KOTA KINABALU: Kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat bukan sekadar pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan dalam sistem persekutuan seperti Malaysia, kata bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Untuk masa depan, beliau berkata Sabah memerlukan kepimpinan yang berkesan, wawasan yang jelas, dan pasukan yang kuat yang mampu bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kestabilan jangka panjang dan kemajuan bermakna untuk rakyat.
“Jika dilihat secara menyeluruh, Sabah hanya berada di luar penjajaran dengan kerajaan pusat dalam tempoh yang singkat — iaitu dari 1990 hingga 1994.
“Sepanjang sejarahnya, kemajuan negeri ini banyak bergantung kepada kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Oleh itu, Salleh yang juga Adun Usukan berkata persoalan sama ada parti tempatan atau parti nasional yang lebih baik daripada segi pembangunan bukan isu sebenar.
“Apa yang benar-benar penting ialah kepimpinan yang berkesan, kestabilan politik, dan keupayaan untuk bekerjasama — khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bekas Menteri Persekutuan itu berkata sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, kerajaan Sabah hampir sentiasa sehaluan dengan kerajaan pusat — sama ada melalui gabungan nasional seperti Perikatan dan Barisan Nasional (BN), atau melalui kerjasama politik secara langsung.
Katanya ini termasuk era kerajaan
USNO (1963–1975) dan BERJAYA (1976–1985.
Beliau berkata kedua-dua parti itu merupakan parti tempatan, tetapi merupakan sebahagian daripada Perikatan dan kemudian BN.
“PBS pula mentadbir Sabah dari 1985 hingga 1994. Pada tahun 1990, PBS keluar daripada BN dan bersama Gagasan Rakyat — satu gabungan pembangkang ketika itu.
“Ini menandakan tempoh yang jarang berlaku di mana Sabah tidak sehaluan dengan kerajaan pusat — namun ia singkat dan dalam suasana politik yang tegang.
“Selepas PRN 1994, BN kembali menerajui kerajaan negeri dan UMNO Sabah ditubuhkan.
“Dari tahun itu hingga 2018, Sabah ditadbir oleh BN, dengan banyak projek pembangunan besar dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan kerajaan pusat,” katanya.
Pada tahun 2018, Salleh berkata Warisan membentuk kerajaan negeri dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah di peringkat pusat.
“Walaupun Warisan adalah parti tempatan, ia bekerjasama rapat dengan pimpinan Persekutuan ketika itu yang diketuai Tun Dr. Mahathir.
“Dalam PRN 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — yang terdiri daripada Bersatu, PBS, STAR dan SAPP — memenangi majoriti.
“BN bukan sebahagian daripada GRS atau Perikatan Nasional (PN) tetapi bekerjasama dengan GRS untuk membentuk kerajaan negeri. Ini sekali lagi menunjukkan kesediaan untuk menjajarkan diri dengan kerajaan pusat demi kestabilan,” tambah beliau.
Salleh berkata corak yang sama dapat dilihat di Sarawak.
“Parti-parti yang kini membentuk GPS — PBB, PRS, PDP dan SUPP — dahulunya merupakan komponen BN sebelum keluar selepas PRU 2018,” katanya.