Kenyataan Bung bukan gambaran sebenar punca kelembapan pembangunan di Sabah sebelum 1994 – Jordan

KOTA KiNABALU: Ketua Exco Wiramuda
Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Gundohing Jordan Jude Ellron menyifatkan kenyataan Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin bahawa punca kelembapan pembangunan dan ekonomi di negeri ini sebelum 1994 disebabkan perpecahan dan ketidakstabilan politik, sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya kenyataan itu tidak berpaksi kepada sejarah sebenar dan dilihat sebagai cubaan untuk mewajarkan campurtangan kerajaan persekutuan dalam arena politik secara berterusan di Sabah.

“Sebenarnya, sebab sebenar kelembapan pembangunan Sabah bukanlah kerana perpecahan (para pemimpin tempatan).

“Sebaliknya ia disebabkan campur tangan persekutuan,kegagalan menghormati Perjanjian Malaysia 1963, dan amalan dasar pecah dan perintah yang menjadikan Sabah lemah dan mudah dikawal oleh Persekutuan.

“Dan yang paling penting ialah pengkhianatan politik pada tahun 1994 di mana rakyat mengundi PBS namun UMNO mengambil alih kuasa melalui pengkhianatan yang diatur,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.

Jordan menegaskan bahawa gambaran Sabah hanya maju di bawah UMNO lebih bermotifkan politik yang menurutnya cuba memperkecilkan kebijaksanaan generasi-generasi Sabah yang membangunkan negeri ini dengan ketabahan, tanpa mendapat layanan yang adil atau hasil yang setara.

“Sehingga hari ini, Sabah masih kekal sebagai salah satu negeri termiskin di negara ini.

“Siapa yang boleh menafikan bahawa gelaran memalukan ini adalah warisan dasar yang dibuat di Putrajaya dan bukan di Kota Kinabalu?

“Inilah sebabnya teriakan “Sabah for Sabahans” lahir. Ia bukanlah satu slogan. Ia adalah pendirian. Ia adalah tindak balas terhadap pengabaian berdekad lamanya,” katanya.

Jordan berkata laungan Sabah for Sabahans merupakan seruan untuk meraih kembali maruah dan membentuk masa depan yang dipandu oleh orang Sabah sendiri.

“Selama bertahun-tahun, presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berpegang teguh pada mesej ini. Hari ini, mesej itu telah berkembang menjadi sebuah gerakan.

“Ia bukan lagi hanya perjuangan STAR. Ia adalah seruan banyak pihak tempatan. Dan ia telah menggoncang mereka yang lebih suka Sabah tetap tenang dan patuh.

“Bahkan Presiden Umno Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menuding jari kepada Jeffrey, menuduhnya membakar sentimen ini.

“Ini hanya membuktikan kuasanya. Kami sebagai ahli STAR menyangkal tuduhan itu. Jika memperjuangkan hak negeri kita menjadikan kita bersalah, maka kami bangga untuk bersalah.

“Oleh itu, kami menolak sebarang usaha untuk memperkenalkan semula parti berasaskan Malaya sebagai penyelesaian untuk Sabah. Sama ada Umno, PKR, Bersatu, atau DAP, hasilnya sentiasa sama. Sebaliknya, rakyat Sabah mesti memimpin Sabah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles