SANDAKAN: Dari sebuah perkampungan kecil, Tongod yang terletak ditengah-tengah negeri Sabah telah bertukar wajah dan kini muncul antara daerah luar bandar yang semakin maju.
Kepesatan pembangunan di Daerah Tongod yang termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kuamat semakin ketara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Antara projek pembangunan baharu yang dijangka melonjakkan kedudukan Tongod daripada segi ekonomi penduduk setempat ialah pembinaan 12 unit bangunan kedai bertingkat dengan kos sekitar RM7 juta dan projek pembangunan kilang bersepadu pengeluaran batu hangus dan simen yang dianggarkan bernilai RM1.2 bilion.
Kedua-dua projek itu seiring dengan wawasan kerajaan untuk mensifarkan kemiskinan tegar khususnya di daerah Tongod.
Ramai penduduk di situ, khususnya pengundi DUN Kuamut, mengakui bahawa perubahan lanskap pembangunan di kawasan itu merupakan hasil usaha gigih dan kesungguhan ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah membela nasib rakyat.
Tidak harianlah ada di kalangan mereka yang menggelarkan wakil rakyat mereka sebagai Bapa Pembangunan Tongod.
Penduduk Kampung Tongod Jamlin Kayatah berkata sejak Datuk Masiung menjadi wakil rakyat mereka lebih 10 tahun yang lepas, kerajaan telah membelanjakan lebih RM100 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu.
Katanya ini termasuk kemudahan infrastruktur seperti jalan raya ke kampung-kampung, dewan-dewan serbaguna kampung, masjid, gereja dan kemudahan rekreasi.
“Selain jalan-jalan kampung, saya lihat jalan ke daerah lain seperti Telupid Kinabatangan dan Sook juga sudah dan sedang dibina.
“Misalnya jalan laluan Linyukan-Sinaran Keningau dan laluan baharu dari Kampung ke pusat peranginan tropika di Imbak Canyon sejauh 47 kilometer.
“Penduduk DUN Kuamut benar-benar beruntung dan bertuah mempunyai wakil rakyat yang berpandangan jauh dan berwawasan,” katanya, sambil menambah banyak lagi projek pembangunan infrastruktur yang bakal dilaksanakan pada masa depan,
Daerah Tongod juga tidak terpinggir daripada segi pembangunan pendidikan.
Menurut bekas guru Puan Jalilah Apiang
terdapat 19 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah yang tersedia untuk kemudahan para pelajar di daerah berkenaan.
“ADUN kami begitu mengambil berat isu berkaitan pendidikan anak-anak orang Tongod.
“Contohnya ramai pelajar Tongod bakal menerima manfaat apabila dana Yayasan Pendidikan Tongod (YPT) dapat direalisasikan.
“Salah satu keberkesanan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 atas adalah mereka dapat memperbaiki keputusan peperikaaan apabila membuat ulangan menduduki peperikaaan. Pelajar menggunakan bantuan kewangan yg diberi utk membayar yuran peperikaaan ulangan,” katanya.
Jalilah berkata Datuk Masiung juga menitikberatkan usaha untuk membantu memperkasa pembangunan wanita di Tongod.
Ini termasuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh yang membolehkan pengesanan awal penyakit, khususnya kaum wanita, katanya.
Ketua Daerah Tongod Gundohing Jusison Saidin turut menyambut baik inisiatif
kerajaan sedia ada memperkasakan budaya dan amalan adat istiadat, termasuk di daerah Tongod.
Katanya pendekatan seumpama itu diyakini dapat membantu membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.
Seorang lagi penduduk Tongod Laising Podok memuji keberanian dan ketegasan Datuk Masiung mempertahankan cadangan pewujudan kilang simen di Tongod.
“Sudah lumrah ada pihak yang membantah projek simen ini seperti juga ramai yang tidak menyokong pewujudan pusat pentadbiran Putrajaya dahulu.
“Rakyat sepatutnya melihat projek simen ini dalam konteks yang positif terutama membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada kampung.
“Sekiranya projek simen ni berjaya dilaksanakan ia sudah tentu boleh membantu menangani masalah miskin tegar di daerah ini,” katanya
Sehubungan itu, Laising menzahirkan harapan projek kilang simen tersebut dapat direalisasikan, dan berharap rakyat DUN Kuamut dapat bersatu memberi mandat yang besar kepada Datuk Masiung, sekali gus meneruskan agenda pembangunan yang dirancang untuk lima tahun akan datang.
Sebelum ini, Masiung dipetik sebagai berkata bahawa beliau bertekad untuk membawa sebanyak mungkin pembangunan di Tongod demi kebaikan rakyat di kawasan tersebut.