PENAMPANG: Pekan Donggongon bakal dihiasi acara menarik iaitu `Pasar Malam Donggongon’ yang akan dilancarkan pada 26 April 2025 bertempat di depan tapak Tamu Sangadau di antara Stesen Minyak Petronas dan Bulatan Utama.
Perkara ini dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa penganjur Pasar Malam Donggongon, dipengerusikan Datuk Stephen Sampil, semalam.
Antara objektif Pasar Malam Donggongon ini adalah untuk memberi peluang kepada peniaga dan pengusaha mikro dan kecil di kawasan Penampang dan kawasan berhampiran untuk memasarkan dan mempromosikan produk dan barangan mereka supaya mereka dapat menjana pendapatan sejajar dengan objektif Kerajaan Madani bagi rakyat meningkatkan taraf hidup dan kedudukan ekonomi mereka.
Stephen berkata, Pasar Malam Donggongon ini bertujuan untuk memperkenalkan Pekan Donggongon sebagai pusat yang menarik dan tempat yang harus di lawati terutama sekali apabila daerah Penampang di naikkan status sebagai kawasan Perbandaran pada tahun lepas.
Beliau berkata, Donggongon merupakan pusat socio-ekonomi dan komersial yang utama di Penampang dan mengadakan acara seperti Pasar Malam Donggongon adalah berpatutan dan sesuai lebih-lebih lagi di mana ramai penduduk mempunyai keupayaan melawat Pekan Donggongon oleh kerana ramai penduduk di kawasan ini mempunyai kenderaan sendiri.
Katanya, pasar malam ini juga juga boleh memberi tarikan tambahan kepada penduduk di kawasan ini untuk melawat Donggongon meluangkan masa lapang mereka dan seterusnya menikmati tarikan jualan di Donggongon terutama pada waktu petang dan malam.
Stephen merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong, atas inisiatif dan bantuan beliau untuk mengadakan acara pasar malam Donggongon ini.
Beliau juga merakamkan setinggi tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia atas bantuan dan sokongan padat beliau sehingga acara ini dapat di lancarkan.
Penganjuran Pasar Malam Donggongon di terajui Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dan di bantu oleh lima persatuan perniagaan yang lain.
Stephen juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kesemua persatuan dan pihak lain atas bantuan mereka membantu menganjur Pasar Malam Donggongon.
Pasar Malam Donggongon akan beroperasi setiap Sabtu mulai jam 5.00 petang hingga jam 11.00 malam. Antara produk yang dipasarkan ialah makanan halal, produk kraftangan tradisional, disamping acara hiburan.
Sehubungan itu, pihak penganjur menyeru, mengalukan dan memohon semua penduduk Penampang dan orang awam yang berkelapangan untuk melawat dan seterusnya memberi sokongan kepada acara yang disediakan serta memberi sokongan kepada pengusaha dan peniaga Pasar Malam Donggongon .
“Kalau bukan kita, siapa lagi,” kata Stephen, dan menambah pertanyaan lanjut buli menghubungi Sylvia O di talian 0198608844, John G (01114143146) dan Nicholas (0143590065).