Salleh sokong penubuhan tiga taman perindustrian baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyuarakan sokongan padu terhadap inisiatif kerajaan negeri untuk menubuhkan tiga taman perindustrian baharu, masing-masing di Kudat, Kota Belud, dan Beaufort.

Beliau berkata ini sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan membangunkan kawasan luar bandar yang inklusif.

Saleh berkata walaupun pengumuman itu merupakan perkembangan positif, namun kejayaan taman-taman perindustrian itu banyak bergantung kepada penyediaan segera infrastruktur penting, termasuk kemudahan air bersih, elektrik dan jalan raya.

“Kita perlu memastikan bahawa taman-taman perindustrian ini bukan sekadar konsep teori.

“Sebaliknyq Infrastruktur seharusnya dibangunkan secara serentak untuk menarik pelabur yang serius,” katanya.

Selain itu, Salleh yang juga Bekas Ketua Menter Sabah mencadangkan agar taman perindustrian Kudat dipertimbangkan untuk diisytiharkan sebagai Zon Perdagangan Bebas dan mengesyorkan agar Kudat dan Kota Belud dibangunkan sebagai Zon Pembangunan Utara Sabah bagi merancakkan aktiviti eksport, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan.

Bagi meningkatkan keberkesanan, beliau menggalakkan kerajaan untuk memadankan sektor industri dengan kelebihan yang ada di wilayah tersebut, termasuk pengeluaran berasaskan agro di Kota Belud, pemprosesan makanan laut di Kudat, dan logistik di Beaufort—dan menawarkan insentif pelaburan seperti pengurangan cukai dan program pembangunan kemahiran.

Mengenai insurans kemalangan percuma yang baru diperkenalkan untuk penduduk Sabah, beliau menzahirkan sokongan terhadap inisiatif tersebut dan menyeru kerajaan memberikan maklumat lanjut mengenai butiran perlindungan, proses tuntutan, dan sama ada ia merangkumi pekerja tidak formal, termasuk petani, nelayan, dan peniaga.

Salleh juga membangkitkan beberapa isu penting, termasuk pendekatan semasa untuk mengukur kemiskinan.

“Adalah penting untuk menilai semula bagaimana kemiskinan diukur. Pendapatan sahaja tidak mencerminkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh penduduk luar bandar Sabah, terutama dalam kalangan komuniti pribumi,” katanya.

Beliau mencadangkan pelaksanaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) yang direka khusus untuk Sabah, yang akan mengambil kira kos sara hidup tempatan, akses kepada perkhidmatan penting, dan kesukaran bukan kewangan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles