Masalah air di UMS – Pelajar mahu penyelesaian bukan janji kosong atau politik murahan

Kenyataan Media Mohd Affandi Arif
Ketua Wira Warisan Sepanggar
Exco Wira Warisan Pusat

KOTA KINABALU: Tular baru-baru ini gambar pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa menadah air hujan menggunakan baldi akibat gangguan bekalan air yang berlarutan. Keadaan ini sangat memalukan dan menyedihkan, lebih-lebih lagi berlaku di sebuah institusi pengajian tinggi negara. Ia mencerminkan kegagalan serius pihak bertanggungjawab dalam menjamin kemudahan asas kepada mahasiswa.

Pada 28 Julai 2024, satu kenyataan rasmi daripada Naib Canselor UMS menyebut bahawa masalah bekalan air di UMS telah pulih sepenuhnya. Namun, apa yang berlaku kini membuktikan bahawa itu hanyalah kenyataan sedap didengar, tetapi tidak selari dengan realiti. Pelajar masih bergelut dengan masalah air, dan yang lebih menyedihkan, mereka terpaksa bergantung kepada air hujan untuk keperluan harian.

Terbaru, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil tindakan segera. Soalnya, sudah berapa banyak jaminan yang diberi sejak tahun lalu? Sudah berapa ramai pelajar terkesan, dan sampai bila mahasiswa harus hidup dalam keadaan seperti di zon bencana?

Lebih mengecewakan, kerajaan negeri yang dipimpin GRS seolah-olah langsung tidak memberikan tumpuan kepada kebajikan mahasiswa dan rakyat. Setiap hari hanya sibuk bermain isu yang sama—isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)—seolah-olah tiada isu lain yang lebih mendesak. Dan setiap kali ditanya soal kelemahan pentadbiran, jawapan mereka tetap sama: menyalahkan kerajaan terdahulu, khususnya Warisan.

Sudah-sudahlah dengan politik menyalahkan orang lain. Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan. Rakyat mahukan tindakan.

Kami menggesa agar janji tidak lagi dijadikan alat untuk meredakan kemarahan rakyat. Pelajar UMS berhak mendapat jawapan, pelan tindakan konkrit, dan tempoh penyelesaian yang jelas. Bukan hanya kenyataan politik yang kosong.

Masalah ini bukan hanya soal keselesaan, tetapi soal maruah, kesihatan dan hak asasi mahasiswa Sabah. Sudah tiba masanya pihak kerajaan negeri dan persekutuan memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu sebenar rakyat—bukan berselindung di sebalik retorik politik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles