Bengkel pastri PPKI siap dibina, Ewon yakin boleh lahirkan usahawan alumni

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yakin usaha SMK Bahang mewujudkan Bengkel Pastri Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah itu mampu melahirkan usahawan alumni.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa bengkel itu mampu menjadi landasan kukuh kepada pelajar PPKI untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan selepas tamat persekolahan.

“Program PPKI merupakan adalah sesuatu yang dekat dengan saya. Sebab itulah sejak memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), saya memastikan Yayasan Bank Rakyat menyalurkan sokongan dana RM10,000 kepada semua sekolah menengah dan sekolah rendah di Penampang dan Kadamaian yang mempunyai Program PPKI.

“Saya juga berharap melihat graduan PPKI menceburi sektor keusahawanan samada melalui koperasi atau perusahaan selepas mereka bergraduan di sekolah.

“KUSKOP boleh memberikan sokongan yang bersesuaian seperti pembiayaan dan geran keusahawanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bangunan Bengkel Pastri PPKI SMK Bahang, di sini, pada Khamis.

Bengkel tersebut siap dibina hasil peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan bakal dimanfaatkan oleh pelajar pendidikan khas sebagai ruang pembelajaran serta latihan kemahiran dalam bidang pastri.

Ewon berkata, pengwujudan bengkel itu mencerminkan usaha bersepadu antara kerajaan dan institusi pendidikan dalam memperkasakan pendidikan khas serta menyediakan laluan keusahawanan yang inklusif dan mampan kepada golongan berkeperluan khas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang, bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM20,000 kepada PPKI SMK Bahang sebagai sokongan terhadap pertambahan jumlah pelajar dan keperluan program yang semakin berkembang.

Beliau turut menekankan pentingnya kesinambungan pembelajaran kepada pembentukan kerjaya dan menyeru agar pelajar PPKI diberi galakan untuk menyertai koperasi sekolah atau memulakan perusahaan kecil selepas menamatkan pengajian.

“KUSKOP akan terus memberikan sokongan kepada alumni PPKI yang ingin menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang melalui pembiayaan, latihan dan geran keusahawanan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles