TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kiulu berhasrat mewujudkan mini Musium Sukan sekiranya parti berada dalam kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) ke-17.
Naib presiden KDM Henry Saimpon berkata penubuhan mini musium sukan itu diyakini dapat membantu merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan DUN Kiulu.
“Kita sudah maklum Kiulu memang terkenal dengan tarikan eko-pelancongan, terutama aktiviti inap desa dan berakit di sungai, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan daripada segi tarikan pelancong.
“Dan salah satu daripadanya mewujudkan mini musium sukan yang mempamerkan kejayaan ahli sukan Sabah termasuk daei daerah tuan di masa lampau…ini sudah tentu mampu mempelbagai tarikan ke Kiulu terutama belia dan pelajar sekolah,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Henry yang juga bekas pemain bolasepak Sabah dan pernah menyarung jersi pasukan Johor dalam saingan Liga Super dahulu, berkata ini merupakan antara wawasan KDM Kiulu menjelang PRN akan datang.
Beliau yang berasal dari Kg Bongol, Kiulu juga pernah menjadi pengurus pasukan bolasepak Sabah dan berjaya membawa pasukan itu menjuarai Liga Perdana, sekaligus memastikan Sabah layak ke Liga Super.
PRN dijangka diadakan sebelum Oktober tahun ini.
Pada masa sama, Henry mengeshorkan agar Sabah memiliki muzium sukannya sendiri.
“Atlet-atlet Sabah yang pernah bertanding semasa Liga Super, Sukma, Sukan SEA, Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik wajar diberi pengiktirafan dan dikenang sepanjang hayat,” kata beliau.
Henry yang juga Penyelaras KDM Kiulu berkata KDM bahagian Kiulu juga bertekad untuk merintis jalan kepada pewujudan Koperasi Belia di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada masa akan datang.
“Kita melihat koperasi belia berpotensi membantu penduduk kampung terutama golongan muda meningkatkan ekonomi mereka dalam masa jangka panjang,” katanya.
Henry berkata acara sukan, terutama bolasepak dan badminton antara PDM Kiulu juga bakal diperhebatkan.
Beliau berkata KDM Kiulu komited untuk terus memperhebatkan usaha bagi menambahbaik kemudahan infrastruktur,
bidang pendidikan, ekonomi dan pertanian demi kebaikan rakyat Kiulu.