KUALA LUMPUR: Agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) iaitu TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mencapai prestasi kutipan semula pinjaman yang terbaik dalam sejarah penubuhan kedua-dua agensi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) TEKUN Nasional pada tahun 2024 ialah 9.8% berbanding kadar 12.6% pada tahun 2023.
Beliau berkata, Kadar Portfolio At Risk (PAR) AIM pada tahun 2024 ialah 0.02% berbanding kadar 0.09% pada tahun 2023 iaitu kejayaan paling cemerlang sejak agensi ini ditubuhkan 38 tahun lepas.
“Penurunan kadar NPL dan PAR dapat dijayakan susulan langkah-langkah yang diambil iaitu mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi latihan pengurusan kewangan dan perancangan perniagaan bagi membantu usahawan mempunyai aliran tunai yang stabil dan dapat melunaskan pinjaman.
“Agensi-agensi juga menjalankan pemantauan berkala dan penyeliaan secara rapi terhadap usahawan termasuk memberikan sokongan bimbingan bagi membantu mereka mengatasi cabaran kewangan.
“Selain itu, agensi-agensi juga memperkukuhkan urusan komunikasi dalam proses pemungutan bayaran pinjaman melalui penghantaran peringatan automastik melalui aplikasi mudah alih, SMS atau emel yang memudahkan usahawan menguruskan jadual pembayaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Pertanyaan Menteri daripada Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia anak Brodi yang bertanyakan mengenai usaha yang dilakukan oleh agensi KUSKOP seperti TEKUN Nasional dan AIM dalam mengurangkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) agensi dan status pencapaian NPL pada tahun 2024.
Ewon berkata, opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan juga ditawarkan merangkumi pelan pembayaran yang lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran atau pengurangan bayaran bulanan.
Menjawab soalan tambahan, Ewon menyatakan kutipan semula pinjaman tersebut sangat penting bagi memastikan dana tersebut dapat disalurkan kepada usahawan lain yang memerlukan.
Beliau berharap kadar NPL Tekun atau Kadar PAR Amanah Ikhtiar Malaysia dapat dikurangkan lagi supaya dana kedua-dua agensi itu dapat dipinjamkan kepada usahawan-usahawan sedia ada atau usahawan baharu.
“Kita mahu menyalurkan lebih banyak pembiayaan kepada usahawan-usahawan mikro dan usahawan kecil,” katanya.