SANDAKAN: Negeri Sabah sejak tahun 2020 yang ditadbir urus oleh GRS, masih gagal menunjukkan sebarang penurunan kadar pengangguran dan kekal pada 7.7 % dalam tempoh 5 tahun.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata ini berdasarkan laporan yang telah diperolehi daripada Jabatan Perangkaan.
“ Kadar pengangguran di Malaysia bagi tahun 2024 telah menurun kepada 3.2%. Namun, Negeri Sabah sejak tahun 2020 masih kekal pada kadar 7.7%.
“ Ini secara terang menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah dibawah kepimpinan GRS tidak melaksanakan sebarang usaha bagi mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, kelmarin.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata pemerkasaan agenda Bumiputera merupakan satu langkah penting dalam memastikan anak muda, khususnya di kalangan Bumiputera, mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Dalam era globalisasi dan perubahan ekonomi yang pesat, pendekatan yang lebih strategic diperlukan bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan agenda ini.
Suhaimi turut mencadangkan agar kerajaan memperkasakan TVET melibatkan rancangan kepada pertumbuhan industry berasaskan inovasi dan teknologi yang memberi manfaat kepada anak muda.
“Kerajaan juga perlu memperhebatkan pelaksanaan program keusahawanan yang menyokong anak muda dalam bidang perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)”, tegasnya.
Dalam masa sama, Suhaimi kata peruntukan tahunan yang telah disediakan oleh kerajaan pusat, tidak digunakan oleh kerajaan GRS dengan sebaiknya untuk rakyat sabah, sebaliknya ianya digunakan bagi kepentingan peribadi.
“Kerajaan pusat dan negeri Sabah seharusnya mengutamakan penambahbaikkan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air serta bekalan elektrik.
“Namun begitu, satu persoalan yang sering timbul adalah sama ada usaha yang diambil oleh kerajaan pusat ini diterjemahkan dengan baik di peringkat negeri Sabah”, katanya.
Beliau berkata seperti biasa , kerajaan GRS akan tampil dengan pelbagai alasan mengapa sesuatu dasar itu tidak boleh atau gagal dilaksanakan di peringkat negeri.
Suhaimi menyeru agar segala usaha yang telah digariskan oleh kerajaan pusat dapat diterapkan secara menyeluruh dan efektif di Sabah.
“Rakyat Sabah berhak mendapat pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain” , jelasnya.