Pengerusi JKKK di DUN Sindumin perlu jalankan amanah diberikan tanpa dibatasi fahaman politik – Dr Yusof

SIPITANG: Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Dewan Undangan Negeri Sindumin perlu menjalankan amanah yang diberikan tanpa dibatasi fahaman politik demi kemajuan kampung dan kebajikan penduduk.

Advertisements

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, Pengerusi JKKK merupakan pemimpin penting di peringkat akar umbi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai satu-satunya badan penting di peringkat kampung menjaga kemajuan dan keselamatan kampung.

“Justeru itu, mereka yang terpilih harus melaksanakan tugas dengan baik dengan mengikut apa yang telah digariskan dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan kepada 35 Pengerusi JKKK bagi DUN Sindumin di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, antara perkara-perkara yang harus dilaksanakan adalah mengadakan mesyuarat JKKK sebulan sekali dan mengadakan dialog dengan penduduk kampung bagi mendengar cadangan memajukan kampung.

Menurutnya, Pengerusi JKKK atau Setiausaha juga harus mahir menggunakan komputer atau komputer riba agar mudah untuk mereka membuat minit mesyuarat atau membuat surat permohonan dan sokongan.

Katanya, semua Pejabat ADUN Sindumin telah menyediakan komputer riba dan mesin pencetak kepada semua 62 JKKK untuk mereka mudah menjalankan urusan pentadbiran.

Dr Yusof berkata, beliau telah meminta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Sindumin untuk melaksanakan kursus kepada semua JKKK yang baru dilantik dan dilantik semula mengenai peranan dan tanggungjawab mereka agar dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Menyentuh mengenai lantikan Pengerusi JKKK yang baru, beliau berkata, ia dibuat menerusi nama-nama yang dicadangkan oleh Ketua-Ketua Bahagian Parti Komponen Gagasan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan Plus bagi DUN Sindumin.

“Biarpun sebagai wakil rakyat mempunyai mandat untuk memilih, saya serahkan kepada parti komponen untuk mencadangkan nama-nama individu yang layak dan jika ada beberapa nama, barulah saya menggunakan mandat untuk memilih individu yang layak,” kata beliau.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles