PAPAR : Pusat Kecerdasan Buatan (AI) terawal di Sabah bakal diujudkan sebagai antara inisiatif menyokong ekosistem pembangunan digital di negeri itu.
Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah strategik menuju transformasi teknologi dan ekonomi digital.
Beliau berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga akan terlibat dalam usaha melaksanakan program berkenaan bagi memanfaatkan kepakaran yang dimiliki UMS dalam bidang AI.
“Kerjasama dengan UMS ini diharapkan mampu membantu usaha kita dalam membuka pusat AI di Sabah ini dan seterusnya memperkasa bidang berkenaan.
“Perkara ini juga akan dibawa ke Kabinet kerajaan negeri untuk diperkenankan,” katanya semasa merasmikan Bengkel Penerangan Zon 5 dan Zon 6 di Beringgis Resort, Papar semalam.
Hadir sama Bendahari Gagasan Rakyat, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ahli majlis tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Isnin Aliasnih, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua wanita, pemuda, beliawanis serta ketua-ketua penerangan empat peringkat daripada Zon 5 dan Zon 6.
Menurut Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, pelaksanaan sebuah pusat AI di negeri ini juga penting dalam menyokong usaha kerajaan Pusat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data neutral.
Tambah beliau, penggunaan AI hari ini merupakan satu perkara yang tidak lagi boleh dielakkan khususnya melibatkan urusan harian terutama bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam.
“Penggunaan AI merupakan satu anjakan perubahan ke arah kualiti tinggi, produktif serta mampu melaksanakan tugasan lebih sukar serta berimpak tinggi.
“Semua ini juga mampu memperkasakan lagi pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat kita,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titiingan pula menggesa ketua-ketua penerangan Gabunan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi supaya peka dengan isu semasa terutama melibatkan fitnah dan dakyah yang disebarkan melalui media sosial.
Katanya, mereka juga perlu cepat bertindak balas terhadap dakyah tersebut bagi mengelak daripada maklumat salah yang akhirnya menjejaskan kredibiti, imej parti dan kepimpinan GRS.
“Jangan kita membiarkan isu-isu yang ditularkan terutama di media sosial begitu sahaja apa lagi berita yang berunsurkan fitnah dan provokasi, mengaitkan pemimpin dan parti tanpa fakta sebenar. Jangan jadikan kedai kopi sebagai tempat menyebar berita tidak betul.
“Jika kita (penerangan) tidak bertindak balas, berdiam diri maka seolah-olah mengiakan dan ini akan menimbulkan persepsi negatif serta salah faham kepada umum yang akhirnya turut menjejaskan imej serta kekuatan parti,” tegasnya.