KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan banjir yang melanda kawasan Kinabatangan, bahagian pantai timur Sabah.
Beliau yang juga anggota Parlimen Kinabatangan berkata antara kawasan dan perkampungan yang dilawati ialah Pangkalan,Kampung Muhibbah, Mengaris dan Sukau.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sebagai tanda keprihatinan terhadap kesusahan yang mereka alami.
“Saya berharap semua mangsa banjir dapat bersabar dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bung menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terpelihara.
“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua agensi terlibat dalam membantu mangsa banjir.
“Kerajaan serta agensi berkaitan akan terus memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.
Terdahulu, Bung melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kinabatangan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir yang melanda daerah itu.