Gambar paling depan: Dari kiri, Pn. Rosmahwati Binti Ebbie (Pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun), Dr. Kamsiah Widayati Roda Harun (Ketua Jabatan Perancangan Penyelidikan dan Inovasi IPGMK Gaya), En. Mohd Said Bin Juplin (Ketua Jabatan JPIP IPGMK Kent), Dr. Ronald Yusri Batahong (Ketua Jabatan Kecemerlangan Akedemik IGMK Kent), Tuan Haji Harun Bin Haji Sarail (Timbalan Pengarah IPGMK Kent), Dr. Norafidah Binti Noralidin (Pengarah IPGMK Kent), Dr. Linah Bagu@Siti Nurlina Abdullah (Timbalan Pengarah IPGMK Gaya), En. John Gitom (Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGMK Kent), Dr. Rosie Johnny (Pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGMK Kent), Pn. Hapsah Binti Magit (Ketua Unit Perkhidmatan IPGMK Kent)
TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah melakar satu lagi kejayaan dengan menganjurkan Majlis Lambaian Kasih dan Kesyukuran baru-baru ini.
Acara penuh bermakna itu didedikasikan khas untuk menghargai jasa dan dedikasi Dr. Linah Bagu mantan Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent Tuaran.
Beliau diiktiraf atas peranan besar dalam memperkasakan pendidikan Bahasa Kadazandusun, bahasa warisan yang menjadi tunjang identiti budaya di Sabah.
Acara gilang-gemilang itu berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Kak Jun, bernaung di bawah tema “Mongunsikou om Mamarayou Manampasi Koubasanan (MMK)” yang membawa maksud “Mensyukuri dan Meraikan Menghidupi kebudayaan”.
Tema itu mencerminkan semangat untuk memperkukuh usaha bersama dalam memartabatkan bahasa dan budaya etnik demi generasi masa depan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pemimpin dan pendidik yang dihormati, termasuk Pengarah IPGM Kampus Kent, Dr. Norafidah Binti Noralidin, yang merasmikan majlis tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent, Tuan Haji Harun Bin Haji Sarail, serta Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, En. John Gitom, yang bersama-sama memeriahkan suasana.
Dalam ucapannya, Dr. Norafidah menegaskan pentingnya acara seumpama itu untuk menyemarakkan semangat silaturahim antara warga pendidik dan pelatih.
Beliau berkata, “Majlis ini adalah simbol perpaduan dan penghargaan atas usaha bersama dalam memperkasakan pendidikan bahasa etnik. Sumbangan Dr. Linah Bagu amat dihargai, dan kami yakin beliau akan terus cemerlang dalam peranan baharu sebagai Timbalan Pengarah IPGM Kampus Gaya.”
Selain menjadi platform untuk menyampaikan penghargaan, majlis itu juga berfungsi sebagai ruang untuk mengenang jasa besar Dr. Linah Bagu.
Dalam ucapannya, Dr. Linah menyentuh hati para hadirin dengan berkongsi pengalaman manis sepanjang perkhidmatannya di IPGM Kampus Kent.
Beliau juga tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada semua rakan pensyarah dan pelatih atas sokongan serta kerjasama mereka sepanjang perkhidmatannya di institusi ini.
Sebagai individu yang dikenang atas kepimpinan dan dedikasi beliau dalam memacu jabatan sebagai Tier 1 Bahasa Kadazandusun, pelantikan Dr. Linah sebagai Timbalan Pengarah di IPGM Kampus Gaya dilihat sebagai pengiktirafan yang amat wajar. Menurut Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, En. John Gitom, “Pelantikan ini adalah bukti kepimpinan dan sumbangan Dr. Linah diiktiraf pada peringkat lebih tinggi, dan kami mendoakan kejayaan berterusan buat beliau”.
Majlis ini turut diperkaya dengan pelbagai pengisian menarik seperti persembahan nyanyian dan sesi penyampaian hadiah penghargaan oleh para guru pelatih.
Aktiviti-aktiviti itu bukan sahaja merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelatih, malah menjadi pencetus inspirasi untuk terus memperjuangkan pemeliharaan warisan budaya Kadazandusun.
Dalam ucapan penutupnya, Dr. Norafidah menyeru agar semua pihak, khususnya warga pendidik, berganding bahu dalam memastikan kelangsungan bahasa dan budaya etnik. “Jangan sampai kita kehilangan identiti bahasa dan budaya kita. Pendidik adalah tonggak utama dalam memastikan generasi muda memahami dan menghargai warisan mereka. Tugas ini adalah amanah besar yang harus kita pikul bersama,” tambahnya dengan penuh semangat.
Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian, disusuli penyampaian penghargaan kepada Dr. Linah Bagu. Acara ini berjaya meninggalkan kenangan manis dan semangat baharu dalam kalangan warga pendidik dan pelatih, menjadikannya satu lembaran penting dalam usaha melestarikan bahasa dan budaya Kadazandusun.