KOTA BELUD: Persaraan merupakan satu permulaan kepada fasa kehidupan baharu, yang penuh cabaran untuk diterokai dalam mencari makna kehidupan, kata Adun Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Bagaimanapun, katanya persaraan bukan bermakna sumbangan terhadap negara dan bangsa telah berakhir.
“Segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat sebagai penjawat awam boleh dijadikan aset untuk terus bergiat aktif dan menyumbang terutamanya kepada masyarakat misalnya, melalui kegiatan sosial atau lain-lain yang sesuai,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persaraan “Sekalung Budi, Sejambak Kasih” di The Bay Edge, Jalan Kuala Abai, dekat sini hari ini.
Sambil menghargai sumbangan para pesara warga pendidik, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata pengorbanan mereka amat besar dan tidak ternilai terutama sebagai pencetus kejayaan generasi muda.
Salleh berkata setiap guru besar yang diraikan telah memainkan peranan penting dalam membentuk asas pendidikan di peringkat daerah, yang menjadi tunjang kemajuan negara.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr Japran Hj Kusin, serta barisan kepimpinan Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Kota Belud.