KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah ingin menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu-isu yang melibatkan ADUN-ADUN Sabah berkaitan skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
Ketuanya, Sufian Abdul Karim berkata berdasarkan video-video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah.
“Sebagai Ketua Menteri dan individu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal negeri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini,” tegasnya dalam satu kenyataan Pemuda UMNO Sabah di media social Facebook , hari ini.
Oleh itu, Sufian berkata Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mendesak Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa menganggu pentadbiran negeri Sabah.
“Satu siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap organisasi Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
“Pendedahan hasil siasatan kepada rakyat Sabah kerana rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri,” katanya.
Sebagai rakyat Sabah, beliau menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah tidak lagi boleh berdiam diri. adalah perkara yang sangat membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa sumber kekayaan negeri ini telah disalahgunakan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sabah.
“Kekayaan Sabah adalah milik rakyat, bukan milik segelintir,” katanya.
