SANDAKAN: Semangat gotong-royong penduduk Kampung PPH Karamunting berjaya menyelesaikan masalah jalan berlumpur yang menjejaskan laluan utama kampung tersebut.
Dengan kerjasama penduduk dan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, masalah ini diatasi melalui inisiatif menurap jalan menggunakan batu kerikil.
George bertindak segera dengan menyalurkan peruntukan untuk membeli bahan dan peralatan yang diperlukan selepas dimaklumkan mengenai keadaan itu. Penduduk kampung pula secara sukarela bergotong-royong melaksanakan kerja-kerja penurapan, mencerminkan komitmen tinggi mereka untuk memperbaiki infrastruktur kawasan.
Menurut George, jalan utama ke kampung tersebut yang sering rosak dan berlumpur setiap kali hujan berpanjangan, dan ini menyukarkan pergerakan penduduk dan menimbulkan risiko keselamatan. Kini, usaha bersama ini telah memberikan kelegaan kepada penduduk kampung.
“Kerjasama seperti ini membuktikan bahawa apabila kita bersatu, tiada masalah yang tidak dapat diatasi. Saya bangga dengan kesedaran dan semangat penduduk kampung untuk berganding bahu menyelesaikan masalah ini,” kata George dalam kenyataan hari Khamis.
Beliau berharap usaha ini bukan sahaja mengatasi isu jalan berlumpur tetapi turut menjamin keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut.
Penduduk kampung turut meluahkan rasa syukur atas tindakan pantas wakil rakyat mereka, yang menyokong usaha gotong-royong ini hingga berjaya menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu mereka.