SANDAKAN : Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas tidak memiliki sebarang kebenaran atau Permit membuat pembelian minyak Petrol RON 95 berjumlah 893.710 liter di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup
Cawangan Sandakan , Azdy Zukkry John berkata, suspek berusia 34 tahun itu dipercayai mengisi minyak di dalam lima tong drum berwarna biru berkapasiti muatan 200 liter setong membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,832.10 sekali gus disita kerana dipercayai cuba untuk diseleweng.
Katanya, sebuah jenis lori turut disita dengan kapasiti muatan tiga tan bersama 19 tong drum tidak berisi berwarna biru kapasiti 200-liter terdapat di muatan lori terbabit bersama resit pembelian minyak petrol terbabit.
“Penguat kuasa KPDN Sandakan menjalankan pemeriksaan pada 26 Oktober semalam kira-kira jam 3.40 petang kemudiannya bertindak mengambil tindakan menyita Lesen Barang Kawalan dan resit jualan pihak stesen dipercayai terlibat manakala siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap suspek.
“Suspek kini ditahan bersama pengusaha stesen minyak yang didapati secara langsung terlibat dalam kes aktiviti penyelewengan barang kawalan di stesen minyak ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azdy Zukkry berkata, serbuan ini merupakan hasil tindakan penguatkuasaan berterusan melalui pemeriksaan aktiviti penyelewengan barang kawalan di stesen minyak di sekitar Sandakan.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi
RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Azdy Zukkry.
Menurutnya, syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman
denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“KPDN Sandakan mengingatkan pengusaha stesen minyak khususnya di daerah ini agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat,” kata Azdy Zukkry.