Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035

 

KOTA KINABALU – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmen dalam memupuk budaya membaca apabila menjayakan program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit 2026’ yang berlangsung serentak di Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan, pada Khamis.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UMS tersebut turut menyaksikan pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule, sebagai inisiatif inovatif bagi menghimpunkan aspirasi dan pesanan digital warga universiti untuk generasi masa hadapan.

Ketua Pustakawan UMS, Haji Zawawi Datuk Haji Tiyunin berkata, inisiatif pelaksanaan program berkenaan merupakan usaha strategik universiti dalam membina masyarakat berilmu.

“Transformasi ke arah digital ini selari dengan visi universiti untuk memartabatkan teknologi dalam penyebaran ilmu serta penyimpanan memori institusi.

“Kita ingin menjadikan budaya membaca sebagai sebuah gaya hidup yang sebati dalam jiwa warga kampus dan bukan sekadar rutin akademik.

“Program seperti ini bukan sahaja menyokong pembudayaan ilmu, malah menggalakkan penglibatan aktif warga universiti selaras dengan aspirasi The Brain of Borneo.

“Ia juga sebahagian daripada usaha menyokong gerakan nasional Dekad Membaca Kebangsaan (2020–2030) serta sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia,” ujar beliau.

Sejak diperkenalkan di peringkat universiti pada tahun 2014, program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ telah menjadi tradisi tahunan yang melibatkan penyertaan seluruh warga universiti.

Melalui program tersebut, warga universiti akan menghentikan seketika rutin harian bagi menyertai aktiviti membaca secara serentak selama 10 minit bermula jam 11.00 pagi sebagai simbolik sokongan terhadap pembudayaan ilmu.

Sambutan tahun ini tampil lebih bermakna dengan pelbagai pengisian tambahan termasuk pelaksanaan aktiviti Jom Baca @ Gunung Kinabalu yang berlangsung pada 15 April lalu.

Selain itu, tayangan cinematic montage bertajuk JomBaca@UMSDalamSejarah turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta menelusuri sejarah pelaksanaan program serta perkembangan kepimpinan universiti sejak penubuhannya pada tahun 1995.

Program berkenaan turut dilaksanakan secara hibrid menerusi platform Webex dan Facebook Live bagi membolehkan penyertaan lebih meluas dalam kalangan warga kampus dan alumni yang berada di luar kampus.

Kemuncak program menyaksikan pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule, yang memberi ruang kepada warga kampus, alumni serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti untuk menitipkan pesanan digital sebagai rekod aspirasi universiti pada masa hadapan.

Kapsul masa digital tersebut akan disimpan secara maya dan hanya akan dibuka semula pada tahun 2035 sempena ulang tahun ke-40 penubuhan UMS.

Program tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi menyokong aspirasi pembudayaan membaca secara berterusan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca menjelang tahun 2030.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles