Penduduk Kemabong diingatkan supaya tidak mudah percaya janji manis agih-agihkan tanah SFI – Bung Moktar

KEMABONG: Rakyat Tenom khususnya di kawasan Kemabong dinasihatkan agar tidak mudah termakan janji manis yang ditawarkan oleh pemimpin tertentu di kawasan tersebut yang kononnya tanah milik Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) di kawasan itu akan dikeluarkan untuk diagih-agihkan kepada rakyat di kawasan tersebut.

Advertisements

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata ini semua merupakan janji palsu kepada rakyat, kerana tanah yang dimaksudkan telahpun dijual oleh kerajaan negeri kepada Syarikat persendirian berpengkalan di Semenanjung.

“Kalau ada lagi janji seperti ini, jangan mudah terpengaruh kerana ianya merupakan satu pembohongan untuk menarik sokongan rakyat kepada parti dan pemimpin berkenaan ,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) di dewan Masyarakat Sri Ontoros Kemabong pada Sabtu.

Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata, BN mahu mengambil alih semula pemerintahan di Sabah pada PRN akan datang kerana ingin melakukan perubahan dan memberikan khidmat bakti yang jauh lebih baik dari pentadbiran sekarang.

“BN jika diberi peluang dan mandat oleh rakyat Sabah nanti, kita akan melakukan usaha-usaha yang lebih baik, bersungguh-sungguh untuk kita mewujudkan pentadbiran yang dapat memenuhi aspirasi, kehendak dan jangkaan rakyat Sabah yang selama ini hanya dimomokkan dengan slogan sedap didengar tapi jauh dari hakikat yang sebenar,” katanya.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kerajaan negeri telah pun mengisytiharkan Sabah kini bebas dari kemiskinan, namun keadaan prasarana sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih dan elektrik yang masih dalam kritikal merupakan gambaran kemiskinan masih berlaku dan ini adalah antara kekangan rakyat sukar menjana pendapatan.

“Bermula dengan pelancaran jentera Jalinan Rakyat (JR) saya berharap agar (JR) menumpukan kepada usaha meningkatkan keyakinan rakyat kepada kewibawaan Barisan Nasional (BN) bagi melengkapkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang,” katanya.

Menurut Bung Kerusi DUN Kemabong perlu ditawan semula, termasuk membantu rakan gabungan yang akan bertanding di DUN Melalap pada PRN Ke-17 ini.

“Ketepikan semua sengketa dan perbezaaan, kita satukan jiwa dan perasaan agar sepakat sepasukan demi memastikan kemenangan PRK ini tercapai,” katanya.

Hadir sama ke majlis tersebut Setiausaha Umno/BN Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO/BN Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Raimee Unggi, Ketua Wanita UMNO/BN Sabah Senator Datuk Noraini Idiris dan Ketua Wanita UMNO/BN Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan

Related Articles

253FansLike

Latest Articles