Kemenangan menyakinkan di Mahkota bukti sokongan semakin meningkat kepada BN-PH – Salleh

KOTA KINABALU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Mahkota menunjukkan sokongan yang semakin meningkat kepada gabungan itu, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Advertisements

Menurut laporan FMT, bekas ketua menteri Sabah itu menegaskan bahawa keputusan menyakinkan itu mencerminkan keinginan pengundi untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi yang berterusan di bawah kerajaan perpaduan.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan mengetepikan cabaran Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional dengan majoriti 20,648 undi, iaitu mengatasi dengan ketara catatan majoriti 5,166 undi pada pilihan raya negeri 2022.

Walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah sedikit daripada 57.34% pada pilihan raya DUN Johor pada Mac 2022, namun Salleh berkata majoriti gabungan itu telah menyaksikan peningkatan yang amat ketara.

“Ini bukan sahaja menunjukkan sokongan yang lebih besar kepada BN dan PH, tetapi juga menandakan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan menteri besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya hari ini.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO Sabah menegaskan bahawa keputusan tersebut mencerminkan peningkatan sokongan kepada parti itu dibawah pimpinan presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga menegaskan bahawa peningkatan undi Melayu menunjukkan kebangkitan semula sokongan kepada parti itu.

Salleh berkata demografi belia dilihat sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan BN-PH di Mahkota.

“Pengundi tertarik dengan calon muda BN, yang mewujudkan harapan dan perspektif baharu dalam politik tempatan,” katanya.

“Ini terbukti dengan peningkatan sokongan daripada pengundi muda dan lain-lain yang mencari kestabilan, pembangunan dan perpaduan yang lebih baik di bawah gabungan BN-PH dan kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Pada PRK Mahkota, calon BN Syed Hussien berjaya meraih 27,995 undi, manakala Haizan Jaafar dari PN memperoleh 7,347 undi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles