Komitmen tinggi jentera pastikan kemenangan BN di DUN Mahkota – Bung Moktar

KLUANG: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh jentera Barisan Nasional (BN) dan parti Perpaduan mampu memberikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurut beliau setelah berjumpa dengan jentera parti, termasuk jentera UMNO dari Sabah yang ditugaskan membantu kempen di PRK DUN Mahkota ,beliau mendapat gambaran yang tepat dan cukup menyakinkan bahawa jentera BN akan meneruskan kerja-kerja kempen sehingga pembungan undi pada 28 Sept ini.

“Di atas kertas kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu agak baik iaitu lima ribu lebih (majoriti) dan kali ini , insya-Allah calon kita anak muda daripada Pergerakan Pemuda, saya rasa dapat menggalas amanah dan mengekalkan kerusi ini dengan kemenangan yang begitu berjaya,” katanya .

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah di sini pada isnin.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin dan Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk Noraini Idris.

Bagaimanapun Bung turut mengingatkan jentera BN agar tidak terlalu yakin (overconfident) sebaliknya kerja-kerja kempen mendekati pengundi perlu terus digerakkan sehingga ke hari pengundian.

“Saya yakin dengan usaha-usaha jentera Jalinan Rakyat (JR) wanita khususnya yang akan terus memantapkan strategi untuk kemenangan, dan saya juga mengharapkan mengharapkan kerjasama jentera daripada parti Perpaduan iaitu Pakatan Harapan untuk meraih sokongan dan undi pengundi kumpulan sasar mereka” katanya.

Mengulas lanjut, Bung berkata adalah satu kerugian besar jika pengundi tidak memilih BN kerana Kerajaan Negeri Johor telah banyak menjaga kepentingan mereka.

“Kerajaan Negeri Johor telah banyak bagi bantuan kepada rakyat di seluruh negeri sama ada kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya dan tidak ada pilih kasih, pokoknya Bangsa Johor.

“Adalah kerugian bagi rakyat di DUN Mahkota sekiranya tidak mengundi calon BN. Kerugian besar,” ujarnya lagi.

Manakala menyentuh mengenai pengundi luar, Bung berkata parti telah mewujudkan satu pasukan khas bagi menyantuni golongan terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa UMNO/BN juga ada membuat satu pasukan khas untuk mencari pengundi-pengundi luar ini untuk didatangkan mengundi pada 28 Sept seperti yang dilaksanakan di (PRK DUN) Nenggiri.

“Di Nenggiri kita berjaya membawa pengundi-pengundi luar mengundi BN dan sudah tentu strategi yang sama kita gunakan untuk membawa pengundi-pengundi luar ini,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calonnya, yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian selain aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi badan bukan kerajaan (NGO)

Related Articles

253FansLike

Latest Articles