SIPITANG: Kemudahan premis Tamu Desa yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi manfaat besar kepada para peniaga kecil-kecilan di kawasan luar bandar.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, antara Tamu Desa yang siap di kawasan Sipitang dan Kuala Penyu ialah Tamu Desa Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah dan Tamu Desa Bazar Monsoi Point Kuala Penyu.
“Saya berharap dengan siapnya pembinaan Tamu Desa di kedua-dua daerah ini akan menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada para peniaga kecil-kecilan dan juga para pengunjung.
“Bagi Tamu Desa di Sipitang, ia bukan hanya dikunjungi para pelanggan tempatan tetapi pengunjung luar dari Lawas Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesian yang melancong ke sini.
“Ini merupakan satu daripada 49 projek Premis Tamu Desa yang telah dan sedang dibina pada masa ini di Sabah dan Sarawak bagi pelaksanaan fasa pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Premis Tamu Desa Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah sempena Sambutan Irau Rayeh Lundayeh Sabah Kali Ke-16, di sini, hari ini.
Ewon berkata, bagi pelaksanaan fasa kedua Premis Tamu Desa, kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk penyaluran peruntukan baki RM10 juta bagi membina lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Selain itu katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga turut menyalurkan bantuan insentif di bawah Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK Koperasi) bagi membantu koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.
“Antara yang mendapat manfaat daripada program itu ialah Koperasi Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah Sipitang.
“Ini menunjukkan kerajaan khususnya KUSKOP sentiasa komited membawa pelbagai kemudahan dan insentif bantuan yang diperlukan oleh komuniti perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi di seluruh negara,” katanya.
Mengenai Sambutan Irau Rayeh Lundayeh Sabah Kali Ke-16 bertemakan “Melestarikan Budaya, Perpaduan Tercipta, Keharmonian Terpelihara”, Ewon berkata, tema ini bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan dan kekitaan di kalangan komuniti Lundayeh.
Di samping itu katanya, ia juga mempamer dan memperkenalkan budaya etnik Lundayeh/Lun Bawang kepada masyarakat umum dan pelancong asing.
“Amat penting bagi kita memulihara serta mempertahan identiti budaya etnik masing-masing di mana setiap individu sama-sama menghormati kebudayaan, hak dan peranan setiap suku kaum dalam sama-sama membangunkan negara ini.
“Kepelbagaian etnik ini merupakan satu kekuatan yang perlu dihargai bersama bagi meneruskan kesepaduan kaum di negara ini,” katanya.b