KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick komited memberikan tumpuan besar terhadap pembangunan koperasi dalam sektor agro-makanan dan pelancongan di seluruh negara.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara dan Tahun Melawat Malaysia tahun 2026.
Katanya bagi tujuan itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak koperasi terlibat dalam sector agro makanan dan pelancongan.
“Daripada 15,809 buah koperasi di Malaysia hanya 3,634 buah koperasi yang terlibat dalam sektor agro makanan termasuk pertanian dan penternakan.
“Bagi meningkatkan lagi penyertaan masyarakat dalam koperasi sektor agro makanan, kita sediakan beberapa inisiatif. selain Geran Bantuan Pembangunan SKM, kita juga menyediakan pembiayaan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta untuk sektor agro makanan.
“Sebab itu, saya memberi tumpuan besar kepada sektor agro makanan koperasi ini, bagi meningkatkan lagi penyertaan masyarakat dalam koperasi sector agro makanan,” katanya dalam Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, di Angkasapuri, di sini, pada Selasa.
Ewon berkata, penglibatan koperasi dalam sector agro-makanan akan mengurangkan kebergantungan sumber bekalan makanan yang diimport seterusnya memastikan keterjaminan makanan negara.
“Negara kita masih banyak bergantung kepada import bahan makanan seperti beras, bawang merah, bawang putih dan daging.
“Ini memberi satu cabaran besar kepada negara kita dalam soal keterjaminan makanan. Saya masih ingat di Sabah, pada tahun lepas, heboh mengenai bekalan beras.
“Tapi saya melihat itu satu potensi sebenarnya, satu peluang kepada masyarakat di negara kita
untuk membangunkan sumber tanah yang luas bagi tujuan pertanian, penternakan, perladangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, isu keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama sama bukan sahaja pihak kerajaan khususnya kementerian tetapi rakyat secara keseluruhannya.
“Ertinya rakyat boleh menubuhkan koperasi dan membangunkan sumber-sumber mereka untuk tujuan pembangunan keterjaminan makanan seperti pertanian dan tanaman sayuran,” katanya.
Mengenai penglibatan koperasi dalam sector pelanconga, Ewon berkata, setakat ini sebanyak 255 buah koperasi terlibat dalam sektor pelancongan ataupun perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan, pengusaha resort, homestay dan restoran.
“Sebab itu bermula tahun ini, kita telah menyediakan peruntukan awal sebanyak RM2 juta
yang kita salurkan kepada koperasi-koperasi pelancongan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
“Saya mahu pada tahun hadapan, SKM di bawah kumpulan wang amanah, sejumlah dana untuk pembangunan infra di kawasan koperasi koperasi pelancongan ini.
“Tujuan awal kita mempromosi itu supaya para pelancong dalam negara dan juga luar negara maklum bahawa banyak tempat menarik di Malaysia yang diusahakan oleh koperasi,” katanya.
Ewon ingin melihat koperasi sector pelancongan boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang terlibat dalam sektor pelancongan.
“Saya ingin melihat koperasi boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar, sebab itu kita mulakan peruntukan awal RM2 juta untuk membantu membangunkan produk koperasi dan juga mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi koperasi dalam sektor pelancongan.
“Program Jejak Koperasi (JEJAK) telah kita lancarkan pada bulan Mei lepas. Kita juga bercadang untuk bekerjasama dengan beberapa influencer untuk mempromosikan tempat-tempat menarik yang diusahakan oleh koperasi koperasi pelancongan,” katanya.
Beliau berharap tahun 2026, apabila kempen tahun melawat Malaysia dilaksanakan, pelancong juga akan berkunjung ke tempat tempat yang diusahakan oleh koperasi koperasi di negara ini.