SANDAKAN: Konsep Malaysia MADANI merupakan kunci bagi menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama agar lebih menghargai keamanan serta kebebasan yang dikecapi selama 67 tahun hingga ke hari ini.
Ketua Wanita Umno bahagian Batu Sapi Hazuliza Mohd Dani berkata ‘Malaysia Madani:’Jiwa Merdeka yang dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik rakyat Malaysia.
“Dalam Konsep Malaysia MADANI, perpaduan merupakan kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jiwa Komuniti Merdeka di Kampug Gas Baru dekat sini pada Isnin.
Program tersebut dianjurkan bersama Komuniti Madani Kampung Gas Baru, Komuniti Madani Desa Permai DUN 53 Sekong dengan kejrjasama Pejabat Penerangan Daerah Sandakan.
Menurut Hazuliza yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno Sabah ,usaha mengekalkan keharmonian negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum dilihat bukan satu perkara mudah dan tidak boleh dipandang enteng.
“Justeru, semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara mahupun diperingkat komuniti perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.
“Penganjuran program seperti ini merupakan wadah terbaik bukan sahaja mengajak Masyarakat menghayati erti kemerdekaan namun dalam masa yang sama dapat membentuk sebuah komuniti yang bersatu padu ,harmoni dan saling bekerjasama,” katanya,
Hazuliza menambah masyarakat juga perlu menanam sifat sebagai sebuah keluarga dan saudara.
“Sekiranya kunci ini disematkan dalam dada setiap insan yang berada di bumi bertuah ini, sudah pasti keharmonian dapat berkekalan,” katqnya.
Bagaimanapun, Hazuliza menambah dalam semangat perpaduan dan keharmonian yang dikecapi ketika ini ada segelintir golongan yang bersikap dan bersifat ekstremis yang bertindak menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.
“Kita kecewa ada beberapa di kalangan pemimpin politik di negeri ini kembali meniupankan sentiman “ Anti Parti Malaya” hanya demi memperkukuhkan kedudukan serta pengaruh mereka,” katanya.
Menurutnya, isu perkauman, agama dan politik sempit sering menjadi modal tercetusnya ketegangan dan sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan berhemah ia boleh mengundang kehancuran sekali gus merugikan masa depan golongan muda.
Sehubungan itu, Hazuliza meminta rakyat di negeri ini agar tidak terpengaruh dengan sentiman seperti ini yang boleh mengundang kepada kehancuran semangat perpaduan yang dibena selama ini.
“Tidak ada masalahnya sekiranya kita berbeza pandangan dan itu perlu kita raikan dan tidak seharusnya dijadikan sebagai penghalang,” katanya.