PITAS : Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas bersemangat tinggi sekali gus melahirkan keyakinan tinggi untuk memilih parti tempatan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Pemudanya, Asmey Ruddy berkata, ini kerana setakat ini sangat jelas kelihatan semangat kenegerian semakin membara dalam kalangan pengundi sekali gus menjadi petanda baik khususnya dalam menuju PRN kelak.
Katanya, beliau menjadikan contoh Negeri Sarawak bersatu dalam memilih parti tempatan sehingga kestabilan politik berlaku di negeri itu dapat dikekalkan sehingga ke hari ini.
“Jadi sudah sampai masa, untuk kita memilih parti tempatan serta menolak parti berasal dari Malaya.
“Gagasan Rakyat Bahagian Pitas kita mula mengatur persiapan bagi menghadapi PRN17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Asmey berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu ketika ini semakin memberangsangkan, selepas selesai mengadakan persidangan berkelompok bermula pada 15 Jun di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malubang dan berakhir 20 julai di PDM Salimpodon.
“Kita yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan cerah, kita juga yakin sokongan pengundi terutama golongan muda akan beralih kepada parti ini pada PRN nanti.
“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat,” jelas Asmey.
Menurutnya, beliau yakin dengan Gagasan Rakyat merupakan perjuangan parti tempatan dapat di angkat bersama perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutama di kawasan Parlimen Kudat.
“Kita mahu menyatupadukan rakyat khususnya di Bahagian Pitas kerana kita sudah mengalami pelbagai gelombang cabaran politik Sabah.
“Perjuangan Gagasan Rakyat akan memberi isyarat jelas kepada parti pembangkang di Sabah bahawa Gagasan Rakyat khususnya di Bahagian Pitas akan menjadi platform politik yang kuat pada masa akan datang di Sabah,” kata Asmey.