PETANAH cadang bantuan sara hidup RM300 setiap bulan diberikan kepada rakyat miskin tegar di Sabah

TUARAN: Persatuan Petani dan Penternak Bumiputera Sabah (PETANAH) mencadangkan kepada kerajaan negeri agar memberikan bantuan wang tunai RM300 sebulan kepada rakyat yang masih berada dalam kategori termiskin atau miskin tegar di lapan daerah di Sabah.

Advertisements

Presiden PETANAH Gaibin Ransoi berkata walaupun jumlah bantuan sara hidup itu kecil namun ia sudah mencukupi untuk membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, sekaligus membantu mengeluarkan mereka daripada status kemiskinan.

Mengikut dapatan PETANAH melalui laporan setiap ahli, beliau berkata pendapatan mereka tidak menentu iaitu
kurang RM1,000 sebulan.

“Hidup keluarga mereka (miskin tegar) amat susah dan anak-anak perlu dapat pemakanan sihat untuk membesar.

“Dan bantuan sara hidup ini bukanlah kekal selamanya hanya sementara iaitu sehingga anak-anak yang masih kecil dapat kerja yang boleh menjamin hidup yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Gaibin, bantuan itu boleh dipindahkan kepada orang lain yang sangat memerlukan bantuan tersebut, sekali gus membantu menangani masalah kemiskinan di negeri ini.

Beliau berkata PETANAH berharap kerajaan Sabah akan mempertimbangkan kewajaran syor itu demi kebaikan bersama.

“Kami ahli PETANAH memikirkan ini adalah antara inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi menolong rakyat miskin tegar, khususnya di lapan daerah di Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lapan daerah termiskin di Sabah ketika ini terdiri daripada daerah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles