Penagih perlu dirawat, dipulihkan bukan dihukum semata mata – Zaki

TAWAU: Pindaan RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 berupaya mengurangkan birokrasi agar proses mendapatkan rawatan boleh dibuat segera khasnya kepada mereka yang ingin melakukannya secara sukarela.

Advertisements

Malah, ia boleh memperluaskan peranan pusat rawatan persendirian supaya rawatan dan pemulihan tidak bergantung kepada fasiliti AADK semata-mata.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, pindaan tersebut juga berupaya memperbetulkan stigma terhadap AADK yang selama ini dilihat seolah-olah tidak memberikan peluang kedua kepada penagih untuk memperbaiki diri selepas ditahan.

Dalam masa yang sama, katanya ia tidak akan mengurangkan peranan pegawai perubatan berdaftar sepertimana yang termaktub di dalam akta yang asal.

“Penguatkuasaan oleh pihak AADK bukanlah bertujuan menghukum tetapi ia lebih bermatlamatkan kepada rawatan dan pemulihan. Dengan adanya pindaan tersebut, penagih yang datang secara sukarela boleh segera dirawat serta dipulihkan dan tidak akan dijatuhkan hukuman kecuali bagi kes langgar syarat. Ia sekaligus boleh membantu mengurangkan kesesakan di dalam penjara,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaki yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Tawau turut menganggap usaha mengangkat RUU baru iaitu ‘Akta Penyalahguna Dadah dan Bahan’ adalah selari dengan ‘Dasar Dadah Terkawal 2025’ dan tidak wajar dilengah-lengahkan.

“Semua pihak perlu berlapang dada dan tidak meragui kompetensi Pegawai Pemulihan AADK. Saya difahamkan pelan latihan yang berstruktur untuk tempoh lima tahun ke hadapan telah disediakan sebagai persiapan kepada pindaan RUU ini.

“Pun begitu, kita turut mencadangkan agar perjawatan AADK di semua daerah dapat dikaji semula. Ia perlu diperbesarkan dan disesuaikan dengan peranan Pegawai Pemulihan AADK yang pastinya akan bertambah apabila RUU ini diluluskan,” katanya.

RUU ‘Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 2024)’ yang dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai 2024 dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Antara lain ia memperuntukkan pindaan Seksyen 3 akta berkenaan selain memperluaskan ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles