TUARAN: Persembahan memukau Scolastica Ann Bonneiface, yang penuh emosi dan keaslian tersendiri berjaya memenangi hati juri, sehingga diangkat sebagai Juara Sugandoi Kaamatan Kategori Terbuka pada Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2024.
Scolastica membawakan dua buah lagu bertajuk “Antanom” nyanyian Afiezal Fahmi, dan sebuah lagu baharu yang khusus dicipta komposer Rexynoell James Gerard kepadanya, berjudul “Pologoso Oku”.
Lagu “Antanom” yang membawa mesej kepahlawanan berjaya dibawanya dengan begitu baik, dibantu oleh sosok penari lelaki yang membawa watak sebagai Antanom, ternyata menjadi, bukan hanya menerusi gerakan tetapi juga ekspresi yang dipertontonkan di atas pentas.
Kemampuan vokal gadis cilik ini tidak perlu dipertikaikan lagi apabila berjaya membawakan lagu keduanya “Pologoso Oku” dengan penuh tenaga, di samping luahan emosi yang berjaya sampai kepada penonton.
Setiap nada yang dilafazkan, dan tiap pergerakannya juga membawa mesej mendalam dan merangkumi kepelbagaian emosi.
Justeru, tidak hairanlah, bukan sekadar kejayaan secara keseluruhan, Scolastica turut diiktiraf atas persembahannya yang luar biasa melalui penganugerahan Persembahan Terbaik.
Lebih kurang 500 penonton yang hadir memberi tepukan gemuruh saat namanya diumumkan sebagai pemenang, oleh juruacara bertugas, DJ Niz dari Kupi-Kupifm.
Kemenangan tersebut menyaksikan penyanyi kelahiran daerah kecil Kiulu ini menggondol Piala, dan wang tunai sejumlah RM2,000, sekaligus mewakili daerah Tuaran ke peringkat akhir nanti.
Tempat kedua dimenangi Ackley Arthur, yang berjaya membawa pulang hadiah berupa piala, dan wang tunai sebanyak RM1,500, menjadi wakil Tamparuli ke sesi saringan di KDCA nanti.
Manakala Carl Lejaim Junior memenangi hadiah tempat ketiga, yang menyaksikan piala dan wang tunai RM1,000 menjadi miliknya, dan bakal mewakili daerah kecil Kiulu.
“Terima kasih kepada para AJK Sugandoi Daerah Tuaran kerana banyak memberi kata-kata dorongan kepada kami semua peserta untuk sentiasa memperbaiki kesilapan dalam nyanyian dan memberi persembahan yang terbaik kepada penonton,” kata Scolastica.
Ditanya mengenai persediaan pada peringkat seterusnya di Hongkod Koisaan nanti, katanya dia akan membuat yang terbaik dan ingin menaikkan nama Tuaran hingga ke persada kejayaan.
Kejayaan anak muda ini pastinya menjadi inspirasi bagi generasi baharu untuk terus mengukir nama dalam bidang seni, sekaligus ,menjunjung tinggi tradisi dan warisan nenek moyang.
“Kepada para penyokong saya, terima kasih tidak terhingga, kerana tanpa sokongan anda semua, belum tentu saya dapat mencapai kemenangan ini,” kata sang juara.
Finalis lain yang turut bertanding dalam final Sugandoi Kaamatan (Terbuka) Peringkat Daerah Tuaran 2024 ialah Ratna Angelica, Clevyn J Monjohi, Biby Marziana Lyn Manlul, Wellgoh Giri, Ezra Mark, Amanda Pearl, dan Larra Allya Lequel.
Manakala, Reyss Raphiel, pula dinobat sebagai Juara Sugandoi Dazanak Peringkat Daerah Tuaran 2024, mengalahkan empat lagi peserta, sekaligus mewakili daerah ke KDCA kelak.
Kiniah @ Mary Galanson muncul sebagai juara Sugandoi Kategori Songkotoun, mengatasi empat finalis lain yang bertanding, juga akan mewakili daerah Tuaran ke KDCA nanti.
Tiga juri profesional yang diberi kepercayaan oleh pihak penganjur ialah Asmin Mudin selaku ketua juri, Apprilissa Sue Ann, dan Gilbert Jim Lajim.
“Tahniah. Tahun ini wakil Tuaran nampaknya hebat-hebat belaka,” kata Asmin.
Malam final tersebut turut menyaksikan persembahan bertenaga empat penyanyi lama, Jovita Robert Johnny, Mary Intiang, Sitim Bandaron, dan Rozza Rothman.
Selain itu, tiga penyanyi lain yang pernah menjadi pemenang Sugandoi Kaamatan kategori Dazanak dan Songkotoun Peringkat Daerah Tuaran, John Kaling, Iris Isandra Martha Wilfred, dan Reynn Raphiel turut membuat persembahan mereka.
Hadiah pemenang utama telah disampaikan oleh tetamu kehormat, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.