TAWAU: Insiden dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu yang cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak semalam tidak seharusnya dipandang ringan atau dianggap sebagai kes terpencil.
Semua pihak perlu melihatnya sebagai isyarat penting memperkasakan ESSCOM bukan hanya pada aset malah bahagian perisikan ESSCOM sendiri.
Insiden tersebut juga memberikan gambaran bahawa sebahagian daripada kawasan perairan di Pantai Timur Sabah (ESSzone) masih belum sejahtera atau bebas daripada ancaman penjenayah rentas sempadan.
Aktivis masyarakat, Mohd Zaki Harry Susanto berpendapat pihak keselamatan tidak harus mudah berpuashati dengan situasi semasa di ESSZONE yang kelihatan tenang dalam satu tempoh yang panjang kerana percaya penjenayah rentas sempadan sentiasa cuba menyusup masuk ke perairan negara apabila mempunyai peluang.
“Pasukan keselamatan tidak boleh leka dengan situasi semasa di ESSZONE dan pihak kerajaan pula perlu lebih serius serta fokus memperkuatkan sistem pertahanan dan kawalan ESSCOM.
“Aset di ESSZONE perlu diperkasakan supaya elemen ‘show of force’ boleh mematikan psikologi penjenayah rentas sempadan daripada cuba membolosi kedaulatan sempadan negara.
“Pada masa yang sama, bahagian perisikan ESSCOM juga perlu diperkuatkan dengan menempatkan pegawai yang benar-benar komited dan berpengalaman agar proses pengumpulan maklumat risikan berjalan dengan lancar dan tepat.
Perlu diingat, pertukaran maklumat dengan pihak perisikan negara jiran memerlukan silang kepercayaan yang antara lain hanya terbina hasil kepakaran selain kemampuan mengadaptasi sosiobudaya masyarakat lokal,” tambah Zaki.
Bekas pegawai polis itu turut memberikan penghargaan kepada pasukan Maritim Malaysia yang merupakan sebahagian daripada elemen di bawah ESSCOM atas kejayaan mematahkan cubaan masuk kumpulan penjenayah rentas sempadan semalam serta menganggap ia sebagai tindakan yang berani dan tepat.
“Kita bernasib baik kerana kumpulan penjenayah tersebut dapat dipintas oleh pihak Maritim Malaysia sebelum mereka sampai ke tanah besar Sabah. Jika mereka berjaya mendarat, kita tidak dapat menjangka jenayah apakah yang akan mereka lakukan di negeri ini.
“Anggota-anggota Maritim Malaysia yang tercedera tersebut perlu diberikan penghargaan sewajarnya supaya semangat dan pengorbanan mereka menjadi contoh kepada yang lain”.katanya.