Pengadil aksi Sabah menentang Terengganu di gantung tugas dua minggu

KUALA LUMPUR: Pengadil perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad lepas, dikenakan tindakan penggantungan serta-merta selama dua minggu daripada sebarang tugasan perlawanan.

Advertisements

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram berkata, pengadil tersebut didapati menunjukkan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan itu, berlandaskan laporan Penilai Pengadil.

Pengadil tersebut juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM Nagor Amin Noor Mohamed, untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

“Beliau hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengadil perlawanan di antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada hari yang sama, turut dirujuk kepada Nagor Amin kerana terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat.

“Secara keseluruhan prestasi pengadil adalah memuaskan sepanjang perlawanan tersebut berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut,” katanya yang juga timbalan presiden FAM.

Pemain tengah JDT Natxo Insa pula, dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil ekoran tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan.

Khailazuan Kidam dan Noor Azriel Baharudin merupakan pengadil yang masing-masing mengadili perlawanan Sabah FC berdepan Terengganu FC, dan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad, yang mencetuskan ketiadakpuasan dalam kalangan peminat dan juga netizen.
— BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles