KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu membentuk kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) berikutan sukar bagi sesebuah parti bertanding secara bersendirian.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, termasuk Parti Warisan (WARISAN), dalam misi merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada penguasaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, setakat ini belum ada keputusan berhubung soal kerjasama dengan parti lain kerana UMNO Sabah perlu meneliti terlebih dahulu parti yang ingin dijadikan rakan.
“Keputusan konkrit atau secara terperinci belum ada, namun saya selalu menyatakan mesti (ada kerjasama) sebab tiada jalan lagi untuk satu-satu parti bertanding dan mendapat kemenangan mutlak.
“Jadi, kena cari rakan juga untuk PRN akan datang. Namun, kita mahu menilai dan membuat analisis terlebih dahulu kerana jika salah mencari rakan, susah untuk pusing balik dan akan rugi lima atau 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah, di sini, malam tadi.
Bung Moktar merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pihaknya tidak mahu kesilapan yang dialami UMNO Sabah sebelum ini kembali berulang.
“Tumpuan UMNO Sabah pada PRN17 adalah kerusi yang boleh dianggap boleh menang.
“Kita belum putuskan lagi, namun tidak mungkin kerusi Cina pun kita tanding. Kita akan putuskan nanti,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, UMNO Sabah juga akan meneliti kawasan yang pernah menjadi kerusi tradisi atau kubu kuatnya tetapi diserahkan kepada parti lain pada PRN lalu, untuk ditandingi semula.
“Satu ketika dulu, ada kerusi yang kita pinjamkan kepada orang (parti) lain. Oleh itu, kita akan kaji dan jika masih ada peluang untuk menang di kerusi terbabit, kita akan tanding,” tambah Bung Moktar.