SEMPORNA: Dua individu maut selepas terbabit dalam kemalangan dua buah kenderaan di Jalan Tampi-Tampi dekat sini pada pukul 5.30 petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux.
Beliau berkata kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50’an dikatakan membuat pusingan u-turn di Jalan Tampi-Tampi Simpang Lauhari Semporna sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal yang datang dari arah belakang.
Mohd Farhan berkata susulan perlanggaran itu penunggang motosikal lelaki dalam lingkungan usia 20 tahun dan pembonceng 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Semporna manakala pemandu kenderaan Toyota Hilux telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit jika disabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021, dan ditalian 089-782020 balai polis Semporna atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Farhan turut menasihatkan semua pengguna jalanraya supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak ketika menunggang motosikal dan memastikan memakai topi keledar,” katanya.