SANDAKAN: Para penjaja Pasar Karamunting termasuk penjual sayur dan ikan akan berpindah ke tapak tempat letak kenderaan Pasar Tanah Merah dalam masa yang terdekat sementara menunggu aturan untuk pemindahan ke tapak yang lebih sesuai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata perkembangan tersebut adalah susulan daripada permintaan penjaja Pasar Karamunting yang terpaksa dipindahkan bagi memberi ruang kepada kerja-kerja penaiktarafan dan pembaikpulihan Pasar Karamunting yang telah mengalami kerosakan serius.
Menurut beliau, pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah terdahulunya mengatur penjaja-penjaja yang terkesan untuk berpindah ke Pasar Bandar Ramai-Ramai, namun para penjaja tersebut tidak bersetuju.
Sebanyak 147 penjaja yang terkesan, namun hanya tiga penjaja sahaja yang telah menandatangani borang daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan sebagai tanda bersetuju untuk berpindah ke Pasar Bandar Ramai-Ramai buat sementara waktu.
Justeru, demi mendapatkan satu solusi yang terbaik kepada penjaja-penjaja tersebut, George telah menjemput Timbalan Ketua Menteri Sabah II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam untuk datang ke Sandakan bagi memahami masalah yang dihadapi berkenaan dengan pemindahan penjaja.
“Datuk Seri Joachim telah datang ke Sandakan untuk memahami keadaan semasa pada hari Rabu, dan beliau bersetuju bahawa pihak MPS harus menyediakan sebuah tapak yang sesuai kepada penjaja Pasar Karamunting agar sumber pendapatan mereka tidak akan terjejas,” kata George dalam satu kenyataan selepas sesi perjumpaan beliau bersama Joachim.
George telah mencadangkan kepada Menteri agar Pasar Tanah Merah yang merupakan pasar lama yang sudah tidak digunakan dijadikan tempat perniagaan penjaja Pasar Karamunting buat sementara waktu.
“Buat masa kini, penjaja telah mula berpindah ke kawasan tempat letak kenderaan terbuka di kawasan Pasar Tanah Merah. Justeru, pihak pejabat ADUN Karamunting akan berusaha untuk mengatur kerja-kerja pengurusan, jadi kami berharap para penjaja akan memberikan kerjasama penuh kepada kami,” katanya.
Menurut George, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf Pasar Karamunting akan memakan masa dalam lebih kurang setahun atau lebih lama lagi, dan ini akan memberi kesan yang amat besar kepada penjaja Pasar Karamunting.
Mengambil kira tentang perkara ini, George berkata pihaknya akan bertungkus lumus untuk membuat pengaturan secepat mungkin untuk menyediakan gerai sementara di Pasar Tanah Merah.
“Kerja-kerja untuk mengatur perkara ini telah pun bermula. Saya berharap kesemua penjaja Pasar Karamunting akan terus bersabar untuk menunggu berita baik daripada kami,” katanya.
Dalam masa itu, George sekali lagi menyangkal khabar angin dan maklumat yang tidak benar berkenaan dengan kerja pembaikpulihan Pasar Karamunting yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dan menasihati penjaja untuk tidak percaya dengan desas desus tersebut.
“Kepada yang mempunyai persoalan lanjut, boleh datang ke Pejabat ADUN Karamunting untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Berhentilah menyebar khabar angin yang tidak benar kerana ia mungkin akan menimbulkan kegusaran di kalangan para penjaja yang terkesan,” tambahnya.