KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan rasa terkejut dengan harga tiket penerbangan yang didakwa terlalu mahal untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terutama di musim cuti sekolah atau hari perayaan.
Katanya, ini bukan isu baru bila cuti sekolah atau musim perayaan hari raya aidilfitri ,tahun baru dan sambutan Krismas ,harga tiket penerbangan akan melambung tinggi sehingga membebankan pengguna yang menggunakan penerbangan antara Sabah,Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Ini bukan isu baru tapi kerap berlaku, malah berulang kali saya suarakan di sidang Dewan Rakyat. Harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung terutama bila cuti sekolah atau di musim-musim perayaan harga tiket penerbangan klas ekonomi sahaja antara Sabah ke Kuala Lumpur mencecah hingga 3,800 untuk sehala perjalanan ,begitu juga harga tiket biasa akan naik melambung tinggi adalah tidak masuk akal,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah menyifatkan perbuatan syarikat penerbangan terbabit tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat, khususnya ketika musim perayaan, seperti Aidilfitri dan semasa cuti sekolah.
“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, cukup-cukuplah ‘hisap darah’ rakyat, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ini sudah tentu akan membebankan ibubapa yang anak-anak mereka belajar di Semenanjung untuk balik ke Sabah semasa cuti sekolah/Unversiti atau di musim perayaan utama,” katanya.
Sehubungan itu, Bung meminta Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan melihat perkara ini secara lebih serius jangan sampai membebankan rakyat Sabah terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk membeli tiket penerbangan dalam ekonomi negara yang semakin mencabar ketika ini.
Bung Moktar menambah, ramai rakyat Sabah di Semenanjung yang mahu balik ke Sabah, terpaksa membatalkan hasrat itu akibat tidak mampu membeli tiket penerbangan kerana terlalu mahal.
Justeru itu, beliau meminta supaya Kementerian Pengangkutan memberi perhatian segera dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu harga tiket penerbangan berkenaan.
“Siapa pun syarikat penerbangan yang melakukan operasi tolong jangan terlalu mengaut keuntungan, jangan dera rakyat sabah,” katanya