KOTA KINABALU: Beberapa kampung di DUN Kiulu menghadapi masalah bekalan air bersih sejak 19 Februari lepas disebabkan punca tadahan air di situ mengalami kekeringan akibat cuaca kemarau.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata ini kerana kebanyakan kawasan pendalaman Kiulu menggunakan sumber air graviti/air bukit.
Menurutnya ketiadaan sambungan paip pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
di kawasan pendalaman itu menyebabkan penyaluran air bersih tidak dapat dilakukan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ir Shahelmey berkata pihak JANS telah menerima aduan berkaitan isu itu dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
Katanya penyelesaian jangka panjang isu tersebut telah dimasukkan dalam projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dibawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ir Shahelmey berkata antara kawasan yang termasuk dibawah projek BALB itu ialah Kg. Bukit Giling, Kg.Ulu Bakut, Tuara Sistem Retikulasi Tahun 2018/2019 Negeri Sabah di bahagian Kota Kinabalu.
Selain itu, katanya kawasan lain terlibat dengan projek BALB ialah kawasan upper Kiulu dan sekitarnya, dan Kg. Penimbawan, Kg Kapa-Sinalapak dan kawasan sekitar.
Beliau berkata JANS menghadapi kesukaran untuk menghantar air disebabkan lori tangki air yang tidak mencukupi dan terhad.
“Namun penduduk yang terjejas boleh mengambil bekalan air bersih di Pejabat Daerah Tamparuli sehingga sumber air graviti/bukit pulih semula,” katanya.