Teguh Bersama 33 Tahun UMNO Sabah, Terus Melangkah – Bung

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU : Tanggal 21 Februari 2024, genap 33 tahun UMNO bertapak di Sabah .

Sepanjang tempoh tersebut, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan, suka dan duka yang telah mematangkan perjuangan UMNO di Sabah untuk terus melangkah ke hadapan demi membela bangsa agama dan negara.

Memilih slogan “Teguh Bersama” , Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dalam perutusan sempena sambutan 33 tahun UMNO bertapak di Sabah, berkata dengan adanya kebersamaan serta semangat kerja berpasukan di kalangan pemimpin dan ahli UMNO di Sabah yang dianggarkan melebihi 700,000, UMNO Sabah terus teguh dan masih relevan, meskipun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan, termasuk cemuhan mereka yang berhasrat menenggalamkan pengaruh UMNO di Sabah.

“Sejarah perjuangan UMNO di Sabah amat panjang, banyak ranjau dan onak dilalui sejak ia bertapak di negeri sehingga kini. UMNO pernah menjadi tunjang Kerajaan negeri selama 28 tahun dimana semasa pemerintahanya telah membawa banyak kebaikan kepada negeri dan rakyat ,berjaya menstabilkan politik dan turut mendekatkan hubungan diantara rakyat negeri ini dan Semenanjung. Umno juga telah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di negeri ini dengan memberikan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan kearah kemajuan,” katanya.

Bung berkata demikian dalam perutusannya yang dikeluarkan di sini, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-33 UMNO bertapak di Sabah.

Namun menurut Bung, UMNO Sabah juga melalui detik duka kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menurutnya memberikan kesan kepada kedudukan UMNO di Sabah.

Ini termasuk tindakan 22 tokoh yang terdiri daripada Ketua Bahagian dan pemimpin UMNO di negeri ini keluar parti dan seterusnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas tindakan beberapa pemimpin UMNO Sabah itu, pelbagai suara sumbang mula kedengaran antaranya UMNO Sabah akan dibubarkan malah istilah yang lebih kejam bakal ditalkinkan.

Bagi menangani krisis ini, presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memberikan kepercayaan kepada Bung menerajui UMNO Sabah apabila dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang keluar parti.

Memikul tugas dan tanggungjawab tersebut, bagi Bung bukan sesuatu yang mudah, namun beliau bersyukur kerana masih ada rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO Sabah yang masih setia dan memiliki prinsip perjuangan yang kukuh membantu beliau menyusun semula kedudukan UMNO di Sabah di semua peringkat.

“Kemenangan Ketua Umno bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin yang mewakili UMNO/BN dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Januari 2020 merupakan petunjuk UMNO/BN di Sabah masih diterima oleh rakyat Sabah dan kejayaan itu turut memberikan suntikan semangat serta kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Seperti kata pepatah “patah tumbuh hilang berganti” kemunculan pemimpin-pemimpin muda untuk bersama UMNO yang sebahagian besar turut memimpin bahagian -bahagian ketika ini, merupakan petanda positif UMNO masih diterima oleh rakyat Sabah dan penyertaan mereka merupakan sebahagian dari usaha UMNO untuk meremajakan parti bagi mencari pemimpin pelapis untuk meneruskan perjuangan parti keramat itu.

Semasa Kerajaan negeri dipimpin oleh parti Warisan keadaan politik di Sabah juga tidak stabil bila ada percubaan dari bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang mendakwa mendapat sokongan 33 ADUN termasuk beberapa pemimpin UMNO yang sebilangan besarnya ketika ini bersama GRS melalui akuan bersumpah (SD) pada Julai 2020 untuk menggulingkan Kerajaan Warisan namun gagal, apabila Ketua Menteri yang juga Presiden parti Warisan ketika itu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah setelah mendapat perkenan dari Yang Dipertua Negeri Sabah pada Ogos 2020 bagi memberi laluan PRN diadakan.

Pada PRN ke-16 UMNO, Sabah memilih untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah, satu bentuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan harapan kestabilan politik di Sabah akan dicapai selepas PRN ke-16.

Akhirnya selepas PRN-16 ini Kerajaan negeri dapat dibentuk. UMNO/BN adalah parti terbesar menyumbang kejayaan tersebut yang memperolehi 14 kerusi berbanding 11 kerusi yang diperolehi oleh Perikatan Nasional yang diketuai oleh Hajiji ketika itu dan yang selebihnya PBS 7 Kerusi dan Star 6 kerusi bagi membolehkan gabungan itu dapat membentuk Kerajaan.

Dari segi jumlah kerusi sudah tentu UMNO lebih berhak menuntut jawatan Ketua Menteri, namun bagi UMNO dan Bung sendiri bukan jawatan yang menjadikan keutamaan selain kestabilan politik boleh dicapai bagi membolehkan Kerajaan dapat dibentuk untuk meneruskan usaha-usaha membawa pembangunan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Walaupun UMNO berada di dalam Kerajaan Gabungan GRS ketika itu dan Bung diberikan tempat sebagai orang kedua dalam barisan Jemaah cabinet Sabah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya, namun banyak perkara dan cadangan yang dibawa tidak didengar oleh Kerajaan pimpinan Hajiji. Agihan jawatan lantikan politik termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan hanya dimonopoli satu pihak.

Selepas PRU ke-15 kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat Persekutuan dan UMNO merupakan tongak kedua terbesar dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan GRS yang diketuai Hajiji menyokong Perikatan Nasional tanpa berundingan bersama gabungan GRS amat mengecewakan UMNO Sabah. Bagaimana pun Hajiji membuat pusingan 360 darjah mengubah pendirian untuk menyokong Pakatan Harapan dengan pembentukan Kerajaan perpaduan. UMNO Sabah berharap dengan tindakan tersebut, konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat diselaraskan dalam jentera pentadbiran Kerajaan negeri namun ibaratnya “walaupun tinggal satu rumah tapi bilik asing-asing dan tidur satu bantal mimpi asing-asing”.

Keadaan itu mendorong UMNO Sabah dibawah kepimpinan Bung untuk melakukan perbincangan agar konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah dapat diselaraskan dengan mengurangkan permainan politik bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan Sabah.

Hasrat murni Bung ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu yang datangnya dari kalangan UMNO sendiri dimana mereka zahirkan kepada Hajiji tindakan Bung bersama kepimpinan UMNO Sabah yang lain bertujuan untuk merampas kuasa yang disebut “ Langkah Kinabalu” untuk mengulingkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang sehingga ke hari ini gagal dibuktikan adanya Akaun bersumpah (SD) yang telah ditandatangani oleh wakil-wakil rakyat untuk dipersembahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah sebagai mana eposid yang berlaku pada Julai 2020 berlakunya usaha menggulingkan kerajaan Warisan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman .

Akhirnya beberapa indvidu pemimpin dari UMNO berjaya mengadu domba membuat cucukan jarum kepada Hajiji , ini kerana bagi mereka kesempatan yang ada perlu dimanfaatkan untuk kepentingan politik individu bukannya kepentingan rakyat .

Akhirnya Bung bersama rakan-rakan dari UMNO yang membarisi kabinet negeri sebelum ini disingkirkan.

Bung bersama-sama rakan rakan lain dalam UMNO berlapang dadan menerima tindakan tersebut.

Bagi Bung, beliau boleh sahaja menyokong kerajaan yang ada jika memikirkan kepentingan peribadi namun yang menjadi keutamaan adalah ahli-ahli UMNO di Sabah serta rakyat secara keseluruhannya.

Sehubungan tu, sempena ulang tahun ke-33 UMNO bertapak di Bumi Bawah Bayu, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan mengajak pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini supaya terus merapatkan hubungan, memperkukuhkan perpaduan dengan meletakkan “Tekad Bersama” sebagai slogan untuk membawa UMNO ke hadapan dan seterusnya memantapkan persediaan parti itu bagi menghadapi PRN akan datang.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli UMNO di Sabah tidak perlu lagi memandangkan ke belakang mengimbau Episode duka yang pernah dilalui, sebaliknya terus istiqamah untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat yang terus merintih dengan desakan kesejahteraan kehidupan terutama penyediaan prasarana yang belum ada penyelasaian lebih konkrit dari pihak kerqjaan.

“Kita bersuara menyampaikan suara rakyat di peringkat akar umbi. Sabah kaya dengan sumber asli yang boleh dimajukan sebagai sumber pendapatan utama samada dalam sektor pertanian, pelancongan dan lain-lain…ianya perlu perancangan dan tindakan konkrit dari Kerajaan agar sumber yang ada ini boleh digerakkan untuk memacu ekonomi serta kesejehteraan rakyat. Rakyat ketika ini tidak boleh lagi dimomokkan dengan slogan yang sedap di dengar namun gagal dalam pelaksanaannya,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut ulang tahun ke-33 UMNO bertapak di Sabah, ,Bung mengajak pemimpin dan ahli parti memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat.

Menurut Bung kekuatan perpaduan serta jalinan kerjsama yang kukuh dalam kalangan semua pemimpin perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan kerja berpasukan bagi menentukan UMNO akan terus kekal relevan di Sabah.

“Tekad Bersama adalah akujanji yang telah meletakkan UMNO Sabah masih kekal relevan hingga sekarang , ini perlu kita lestarikan dalam bentuk tindakan, pendekatan mesra dan lebih menyakinkan agar ahli dan rakyat akan terus memberikan sokongan bagi membawa Sabah dan rakyatnya menuju ke hadapan kearah yang lebih baik dari masa kini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles